KERAJAAN NAFI KWSP RUGI

 

Menteri Kewangan menafikan dakwaan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian sebanyak RM6 bilion dalam tempoh sebulan.

Pada masa sama, Lim Guan Eng juga menyangkal dakwaan nilai pelaburan KWSP menyusut.

“Merujuk kepada prestasi penyata kewangan adalah tidak benar bahawa KWSP mengalami kerugian RM6 bilion dalam masa sebulan seperti yang ditanyakan dalam soalan.

“Tetapi sekiranya YB merujuk kepada nilai saham, ia juga adalah kurang tepat,” katanya di Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Adham Baba (Tenggara -BN) tentang langkah segera yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi kerugian yang dialami KWSP sebanyak RM6.09 bilion dalam masa sebulan.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah bursa yang terbaik di rantau Asia Pasifik pada tahun ini dengan mencatatkan peningkatan indeks sebanyak 0.04 peratus sejak akhir tahun lalu.

“Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah dipengaruhi kecergasan ekonomi, urustadbir kewangan yang baik serta ketidakstabilan politik di dalam dan luar negara.

“Contohnya prestasi indeks KLCI adalah yang terbaik tahun ini di Asia Pasifik merangkui Jepun, Korea, China, negara-negara ASEAN, Australia setakat 13 Ogos 2018 iaitu semalam

“Sungguhpun tidak banyak berubah sejak akhir 2017, contoh tahun ini sehingga 13 Ogos indeks saham naik 0.04 peratus berbanding Australia, Thailand, Singapura, Jepun, Indonesia, Hong Kong, Korea, Filipina, Shanghai semua turun, yang paling rendah Australia turun 0.15 peratus,” tambah Ahli Parlimen Bagan itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.