MENTERI KEWANGAN GAGAL JAWAB SOALAN

 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng gagal menjawab soalan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba berhubung tindakan negara membuat keputusan meminjam dengan Jepun dan bukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya pulangan lebih baik kepada pencarum dapat diberikan.

Guan Eng hanya membiarkan soalan itu tanpa jawapan dan beralih kepada alasan negara membuat pinjaman  dalam mata wang asing yen kerana nilai pinjaman yang dibuat masih rendah.

“Jumlah yang dibuat dalam yen hanya merangkumi 3.1 peratus daripada hutang rasmi kerajaan persekutuan. Itu untuk RM21 bilion, jika untuk RM5 bilion, tak sampai satu peratus, jadi itu bukan masalah besar,” katanya pada sesi soalan lisan di Dewan Negara pada Selasa.

Menurut Guan Eng, hutang rasmi kerajaan persekutuan hanya RM21.3 bilion di mana RM15.7 bilion merupakan mata wang dolar Amerika Syarikat dan RM5.3 bilion di dalam yen.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, Malaysia lebih berisiko untuk muflis jika mengambil langkah meminjam dalam mata wang asing yen berikutan kadar tukarannya dengan ringgit yang tidak stabil.

Shahril berkata beliau hairan mengapa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memohon pinjaman dalam mata wang Yen dari Jepun untuk menyelesaikan hutang negara, dan bukannya dalam ringgit.

Terdahulu, Guan Eng turut berkata tidak perlu mempersoalkan prestasi KWSP kerana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tunku Alizakri Alias (berkuat kuasa 20 Ogos ) merupakan individu yang datang daripada pengurusan dalaman KWSP.

“Kita boleh lihat kesinambungan supaya keputusan baik pelaburan bijak yang dibuat selama ini diteruskan dan mereka akan memastikan aspek pelaburan dapat terus dijamin,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.