KHUTBAH JUMAAT: RAKYAT DIINGATKAN TOLAK LGBT

 

Khutbah solat Jumaat di Selangor  menyentuh isu Lesbian, Gay, Biseksusl dan Transgender (LGBT).

Sehubungan itu, Khatib Masjid Negeri, Abu Dzar Adanan mengingatkan umat Islam di Selangor untuk menghindari LGBT kerana perbuatan mungkar dan dilaknati Allah.

Beliau berkata, LGBT adalah perbuatan dosa besar dan terkutuk yang menyalahi hak kemuliaan seseorang manusia kerana ia menafikan hak berhubungan melalui perkahwinan yang sah dan diiktiraf oleh syarak sebagai suami isteri.

Katanya, kehidupan LGBT ini juga bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah wujud sejak zaman Nabi Luth AS serta disebut dalam Quran melalui surah al-A’raf ayat 80 dan 81.

“Perbuatan yang terkutuk ini bukan saja dilarang dan diharamkan, malah langkah awal ke arah itu juga dilarang sebagaimana Rasullulah SAW menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud, “Tidak boleh seseorang lelaki melihat lelaki yang lain, dan tidak boleh seseorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang lain di dalam satu selimut, dan tidak boleh seorang wanita meyentuhkan badannya dekapda wanita yang lain dalam satu selimut,” katanya.

Abu Dzar berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat yang disediakan Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Jumaat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kerabat baginda turut berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Beliau berkata, statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2013 menunjukkan sebanyak tiga peratus daripada rakyat Malaysia didapati terbabit dalam gejala LGBT, iaitu bersamaan kira-kira 173,000 orang.

Katanya, berdasarkan kepada laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 3,347 kes HIV baharu dicatatkan pada tahun 2017 dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,697 kes membabitkan individu yang mengamalkan seks songsang.

“Selain itu, penularan virus itu dalam kalangan mereka yang homoseksual dan biseksual semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,553 pada tahun 2016 dan 1,697 kes pada tahun lalu.

“Dalam menangani isu LGBT ini, pihak JAIS khususnya Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan menjalankan tindakan berdasarkan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Tahun 1995 sedia ada seperti peruntukan Seksyen 27, bagi kesalahan hubungan jenis bagi orang yang sama jantina, Seksyen 28 bagi kesalahan persetubuhan luar tabii dan Seksyen 30 bagi kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan,” katanya.

Abu Dzar berkata, walaupun jumlah aduan dan tangkapan berkaitan golongan LGBT tidak tinggi, tetapi ia bukan bermaksud kegiatan yang tidak bermoral itu boleh dipandang enteng dan sambil lewa.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi memberikan kebajikan dan kasih sayang kepada LGBT yang bertaubat dan sudah insaf, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sudah memutuskan pada 14 Mei 2012 bahawa golongan ini termasuk sebagai penerima zakat asnaf Al Riqab Selangor.

Katanya, dalam fatwa itu dinyatakan mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan layak menerima bantuan zakat asnaf Al Riqab melalui perantaraan mana-mana institusi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berfungsi memulihkan golongan LGBT agar dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam.

“Mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati tausiah berikut; umat Islam hendaklah meyakini Allah amat mengasihi hamba-Nya yang beriman dan amat murka kepada hamba-Nya yang derhaka.

“Umat Islam wajib merasa jijik dan jengkel terhadap sebarang perbuatan yang terkutuk oleh Allah dan Rasul-Nya dan umat Islam wajar berusaha membantu orang yang ingin berhijrah kembali ke jalan yang diredai Allah,” katanya.

 

Wartawan Watan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.