RM200,000 KEPADA ADUN BN – MB SELANGOR

 

Kerajaan Selangor akan mengagihkan semula peruntukan berjumlah RM200,000 kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN), bagi memastikan mereka dapat melaksanakan program rakyat kepada penduduk setempat.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu adalah dasar kerajaan negeri dan bersedia untuk memberikannya walaupun sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Selangor menolak peruntukan berkenaan.

“Sebelum ini, kita adalah negeri pertama yang memberikan peruntukan itu, yang saya rasa paling tinggi iaitu sejumlah RM200,000 (setahun).

“Kita akan beri sekiranya mereka mahu menerima peruntukan itu kerana ini dasar kita dan saya harap selepas peruntukan ini diberi mereka dapat guna seperti yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), di Shah Alam, pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Selangor baharu, Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) berkata parti itu memutuskan untuk menerima semula peruntukan yang diberikan kepada ADUN pembangkang berjumlah RM200,000 setahun.

Katanya, langkah itu perlu supaya pembangkang mempunyai fasiliti yang cukup untuk melaksanakan program kepada masyarakat.

Pada November 2014, 12 ADUN BN Selangor menolak peruntukan RM200,000 setahun yang diberi oleh kerajaan negeri melalui Belanjawan 2015 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu.

Penolakan itu dibuat atas dasar keikhlasan kerajaan negeri yang dianggap tidak adil kerana ADUN Pakatan Rakyat menerima peruntukkan berjumlah RM700,000 setahun.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.