TARIF AIR DAN AIR PERCUMA DIKEKALKAN BUAT MASA INI – AMIRUDIN

 

Kadar tarif air dan pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat Selangor akan dikekalkan buat masa ini, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan tarif air akan naik manakala pemberian air percuma akan dinilai semula pada masa depan.

“Penilaian semula pada masa yang sesuai akan dibuat sebagai langkah untuk tidak membebankan kerajaan negeri serta rakyat.

“Kita kena ingat apa matlamat asal penstrukturan semula air di negeri ini iaitu untuk ambil alih operasi rawatan dan pengagihan bekalan air dari syarikat konsesi,” katanya ketika menjawab soalan Lau Weng San (DAP-Banting) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Dalam pada itu, Amirudin (PKR-Dusun Tua) turut menempelak kenyataan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berterusan mendakwa rakyat Selangor perlu membayar 10 kali ganda harga tarif air.

“Kita sifatkan dakwaan beliau (Abdul Khalid) hanya propaganda semata-mata,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Kerajaan Selangor melalui Air Selangor mengemukakan surat tawaran pengambilalihan itu kepada wakil pemegang saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM2.55 bilion, selepas ditolak diskaun sebanyak 28 peratus penilaian semasa SPLASH pada 30 Jun 2018.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan SPLASH.

Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah dilaporkan menolak cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengguna pakai nisbah 60:40 bagi pemerolehan ekuiti SPLASH.

Berdasarkan cadangan itu, 60 peratus pembiayaan adalah daripada Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), manakala 40 peratus daripada Kerajaan Selangor.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.