PEMIMPIN LARI, AHLI TETAP ISTIQMAH BERSAMA PAS – IDRIS

 

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad sebak mengimbau kembali perjuangan pahit parti Islam itu menentang musuh politik dan pemimpin yang keluar parti pada 2015.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana ahli dan penyokong kekal setia bersama PAS, ketika sekumpulan pemimpin meninggalkan parti untuk menubuhkan Amanah dan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Katanya, walaupun PAS kehilangan sekumpulan pemimpin, tetapi ahlinya bertambah sehingga mencecah 1 juta orang kini.

“Kita berjaya mendidik dan membentuk ahli-ahli kita untuk mereka faham tentang perjuangan. Ini kejayaan PAS, kejayaan tarbiah PAS.

“Kepimpinan lari macam manapun, ahli dan penyokong PAS tetap taat kepada jemaah,” katanya dalam nada sebak dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, pada Ahad.

Sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan calon konservatif dalam pemilihan PAS pada 2015 dan kemudian menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).

Parti serpihan PAS itu kemudian bersama DAP, PKR dan PPBM membentuk PH.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Terengganu daripada Barisan Nasional.

Parti Islam itu turut memenangi 90 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 18 Parlimen pada 9 Mei lalu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.