ROYALTI: MB TERENGGANU MAHU BERSANGKA BAIK

 

Kerajaan Terengganu tidak menganggap tempoh enam bulan yang diambil oleh kerajaan pusat untuk memperhalusi kaedah pembayaran 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak sebagai satu usaha melengahkan janji manifesto.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau amat menghargai usaha kerajaan pusat mencari jalan bagi menyalurkan 20% royalti kepada negeri yang terlibat sepertimana yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Kita hargai apa yang mereka cuba buat. Tinggal lagi sebelum tempoh kajian, perjanjian sedia ada berjumlah 5% yang diterima kerajaan negeri Terengganu sebelum ini yang tidak kurang daripada RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap tahun mestilah berjalan seperti biasa.

“Jadi kita menjangkakan tentulah sekiranya kajian yang baru dibuat, keputusan akhir jumlahnya mestilah tidak berkurangan daripada yang diterima sekian lama iaitu sejak 1974.

“Kalau tidak, apa makna sebuah janji manifesto oleh kerajaan baru jika jumlah yang diterima lebih kecil daripada yang diterima sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus, pada Ahad.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri berpendirian tugas mengkaji kaedah pembayaran royalti itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan pusat dan tidak perlu dipertikaikan.

“Saya bersangka baik bahawa itu adalah hasrat mereka untuk membuat pertimbangan baru. Dia orang nak ambil masa setahun nak kaji pun tak apa yang penting yang lepas tu (bayaran sebelum ini) harus berjalan seperti biasa.

“Kita sedang menunggu akhir bulan ini atau awal bulan depan untuk menerima wang royalti sebanyak 5% mengikut perjanjian seperti yang diterima sebelum ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga sudah menerima minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang mengiktiraf bahawa penerimaan yang bersangkutan dengan hasil minyak dinamakan sebagai wang royalti, bukannya wang ihsan dan disalurkan terus kepada akaun negeri.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.