ZAHID: UMNO MULAKAN PROSES TUNTUT HARTA PARTI

 

UMNO akan memulakan proses menuntut kembali aset-aset milik parti itu di bawah jagaan pemegang amanah termasuk membabitkan era beberapa Presiden parti itu sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ada sebahagian aset parti itu sudah ‘menjadi hak milik’ pemegang amanah dan enggan memulangkannya kembali.

Beliau berkata, beberapa dokumen berhubung perkara itu sudah pun berada denganya dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diberi amanah untuk menguruskan tuntutan berkenaan.

Ahmad Zahid turut menegaskan UMNO tidak memiliki aset berbilion ringgit seperti diperkatakan segelintir pihak.

“Sebelum ini ada pihak yang membayangkan seolah-olah kita (UMNO) ada aset berbilion ringgit tetapi apabila saya melihat aset ini daripada pertemuan dengan syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemegang amanah serta pemegang saham, harta kita tidak sebanyak itu.

“Selepas itu, kita dapati ada penama yang dilantik menguruskan aset UMNO ini enggan mengembalikan harta parti, justeru kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Katanya, beliau akan memastikan langkah menuntut semula harta itu jadi keutamaan serta tindakan undang-undang akan disegerakan.

“Pengembalian ini akan dibawa Jawatankuasa Pengurusan parti dan dibentangkan secara telus kepada semua peringkat parti,” katanya.

Beliau menjelaskan tidak akan membiarkan pemegang amanah harta UMNO mengambil harta parti itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.