“GURAUAN BODOH” HAMPIR RAGUT NYAWA KANAK-KANAK

 

‘Gurauan bodoh’ seorang bapa saudara hampir mengundang padah pada seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap hampir 10 minit apabila disumbat ke dalam mesin basuh pakaian sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, di Rawang, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Isnin.

Melalui satu rakaman video yang tular, kanak-kanak itu disumbat ke dalam mesin basuh oleh bapa saudaranya yang bergurau dengannya tanpa disedari ibu kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, gurauan lelaki itu mengundang padah apabila pintu mesin basuh berkenaan tidak dapat dibuka menyebabkan kanak-kanak berkenaan terperangkap di dalamnya.

Menerusi video kejadian itu yang berdurasi dua minit 46 saat turut tular di media sosial memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Kanak-kanak itu hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu yang berada di lokasi kejadian memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan selepas usaha membuka pintu mesin itu tidak berhasil.

Sementara itu, pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan, ketika dihubungi berkata, ada menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak berkenaan yang menghubungi pengurusnya bagi menyelesaikan masalah serta ganti rugi akibat kejadian yang berlaku.

Katanya, berdasarkan maklumat diterimanya, kanak-kanak itu datang ke kedai dobinya bersama ibu serta bapa saudaranya untuk mencuci pakaian.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, kanak-kanak itu bergurau dengan bapa saudaranya yang berusia lingkungan umur 20-an.

“Secara tiba-tiba, lelaki itu memasukkan kanak-kanak itu ke dalam mesin basuh sebelum pintu mesin terkunci dan tidak dapat dibuka,” katanya.

Hazmal berkata, beberapa pekerja restoran yang terletak bersebelahan kedai dobinya kemudian cuba membantu untuk membuka pintu mesin basuh berkenaan namun tidak berjaya.

Katanya, oleh kerana pintu mesin itu tidak dapat dibuka, mereka bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh itu untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Pintu mesin itu lazimnya akan terkunci secara automatik apabila dimasukkan syiling serta apabila butang ‘mula’ atau butang ‘start’ ditekan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.