PENAHAN AZMAN BERTENTANGAN MALAYSIA BAHARU – GHAH

 

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) melahirkan kekesalan dengan penahanan adik kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kerana didakwa menghina Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyelaras GHAH, Amir Abd Hadi berkata, pihaknya mengutuk penahanan Azman Noor Adam yang bertentangan dengan semangat Malaysia Baharu yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“GHAH mengutuk tindakan polis yang menahan Azman pada jam 3 pagi sedangkan ia boleh dibuat waktu siang hari.

“Malah penahanan Azman tidak ada bezanya dengan penahanan aktivis Fahmi Reza satu ketika dulu yang menghina Perdana Menteri ketika itu, iaitu Datuk Seri Najib Razak menerusi karikatur yang disebar di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Amir berkata, pemimpin, ahli serta penyokong parti politik tidak sepatutnya cepat melatah hanya disebabkan paparan yang dimuat naik di media sosial berikutan ia boleh disekat menggunakan akaun media sosial masing-masing tanpa perlu mengheret isu itu untuk tindakan polis.

“Tindakan termasuk saman sepatutnya diambil hanya berdasarkan paparan yang terdapat unsur fitnah serta penipuan.

“Ahli politik PH yang sebelum ini melaungkan kepentingan kebebasan bersuara tidak sepatutnya menggunakan undang-undang jenayah dan institusi kerajaan bagi menyekat kebebasan seseorang itu untuk meluahkan sesuatu perkara.

“Ini kerana kebebasan luahan perasaan adalah sesuatu yang dijamin oleh Perlembagaan dan seharusnya dihormati oleh semua,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir berkata GHAH turut melahirkan kekesalan kerana kerajaan gagal melaksanakan moratorium terhadap undang-undang zalim.

“GHAH menggesa semua pertuduhan dibuat mengikut Akta Hasutan digugurkan manakala gesaan morotarium terhadap undang-undang zalim ini dibuat oleh pertubuhan masyarakat sivil sejak hari pertama pertukaran kerajaan.

“Malah, kita berharap semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan digugurkan kerana tidak ada tempat bagi undang-undang zalim dalam Malaysia Baharu,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.