SEMAKAN SEMUA KES GUAN ENG 12 OKTOBER

 

Mahkamah Tinggi Georgetown, Rabu, menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan difailkan pengendali laman Facebook Mohsin Abdul Latif untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang tidak diteruskan baru-baru ini.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas Mohsin atau lebih dikenali dengan gelaran “Mamu Parpu” selaku pemohon dalam kes itu memaklumkan peguamnya Gunamalar Joorindajn tidak dapat menghadiri prosiding pada hari ini.

“Pemohon (Mohsin) baru menghantar surat kepada mahkamah menjelaskan tarikh pendengaran pada hari ini tidak sesuai dan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu selepas 9 Oktober ini. Kalau ikutkan, saya boleh buang permohonan ini dalam tempoh lima minit sahaja dan tidak perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Bagaimanapun pemohon telah mengemukakan surat baharu yang kandungan tidak sama seperti sebelum ini.

“Jika mahkamah tidak memberi penangguhan nanti akan timbul isu dan kata mahkamah tidak adil kerana tidak berbuat demikian.Justeru mahkamah menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan ini dan kes akan tetap berjalan sekiranya peguam gagal hadir,” katanya.

Pada pertengahan September lepas, Mohsin menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapat perintah bahawa keputusan berkenaan perlu dikaji semula dan diketepikan atau diubah dan digantikan dengan perintah Lim dan Phang dilepaskan tanpa dibebaskan.

Permohonan itu dibuat menurut Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam permohonan itu, Mohsin menamakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai responden pertama, Lim sebagai responden kedua dan Phang responden ketiga.

Pada 3 September lepas, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan tanpa dilepaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan Phang daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran pasaran berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan peguam Datuk V.Sithambaram serta peuam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hakim Hadhariah yang turut mendengar kes rasuah berkenaan turut tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA).

Mohsin ialah seorang daripada saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam kes rasuah tersebut.

Sementara itu Ramkarpal dan Sithambaran yang mewakili Phang memaklumkan kepada pemberita di luar mahkamah, pihaknya telah bersedia dengan hujahan bantahan awal bagi permohonan tersebut.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.