KILANG HARAM NOTIS TUTUP TEMPOH 7 HARI – BEE YIN

 

Pemotongan bekalan air dan eletrik akan dilakukan terhadap kilang haram memproses sisa plastik bagi menghalangnya daripada beroperasi semula, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Sebubungan itu, beliau berkata, semua kilang haram itu diberi tempoh tujuh hari untuk menghentikan operasi dari tarikh notis dikeluarkan.

“Saya telah mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menghantar notis pemotongan bekalan kepada pihak terbabit.

“Saya sendiri akan memastikan TNB melakukan pemotongan bekalan selepas tujuh hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

“Kerajaan baharu berjanji akan membanteras habis-habisan kilang haram ini daripada beroperasi semula,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi menutup kilang haram di Telok Panglima Garang, pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Banting, Lau Weng San.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, sisa plastik di kilang haram itu akan dibawa ke kilang yang mempunyai lesen untuk tindakan selanjutnya.

“Kita khuatir jika sisa plastik ini dibawa ke pusat pelupusan sampah keadaan menjadi bertambah buruk.

“Lagi pun negara ini telah menghentikan aktiviti import sisa plastik terutamanya gred rendah, sisa yang sudah bercampur dengan kotoran serta plastik berkualiti rendah,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.