MAHKAMAH BENARKAN KUBUR NAZRIN DIGALI SEMULA

 

Pihak polis sebentar tadi dibenarkan untuk menggali semula kubur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran pada Jun lalu bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan terhadap jenazahnya.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan pada Isnin menolak permohonan isterinya, Samirah Muzaffar untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggalian kubur yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki menetapkan demikian selepas menolak permohonan Samirah bagi mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memperbetulkan perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali semula kuburĀ  Allahyarham Nazrin.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membuat pembetulan terhadap peruntukan yang diguna pakai dalam perintah mahkamah majistret itu iaitu dari Seksyen 339 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) kepada Seksyen 329 (3) Kanun sama.

Beliau berpendapat, majistret tidak sepatutnya mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 339 (3) KPJ kerana seksyen itu melibatkan permohonan untuk inkues, sedangkan kes ini masih di peringkat siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan sebelum ini berkata bedah siasat kedua ke atas jenazah Nazrin dilakukan susulan terdapat anggota keluarga tidak berpuas hati atas laporan sebelum ini.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira pukul 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.

Kematiannya kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.