KALAU MENANG BANYAKLAH YANG MERISIK – ISA

 

“Kalau menang nanti banyak parti yang akan merisik saya. Nilai sebagai individu pun naik,” kata Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad secara berseloroh.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, nilai dirinya akan naik berganda dan menjadi rebutan ramai pihak jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu ini.

“Namun saya tidak fikir lagi sama ada ingin masuk parti kerajaan atau kembali kepada UMNO (kalau menang kerusi Port Dickson),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Isa berkata tumpuannya kini adalah untuk memenangi PRK Port Dickson terlebih dahulu sebelum mengambil pendirian untuk menyertai parti politik atau sebaliknya.

“Biar saya menang dulu, lepas PRK saya akan fikir nak masuk parti mana. Buat masa ini fokus saya adalah untuk menang.

“ Mengenai hati untuk pilih parti mana selepas menang, hanya tuhan yang tahu. Belum ada kecenderungan ke arah parti mana,” katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan, kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkongsi pentas ceramah dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai perkara biasa.

“Saya tidak mengikuti langsung apa yang diucapkan Mahathir tetapi saya dimaklumkan hanya biasa-biasa saja.

“Saya pun tidak tahu ingin ulas apa lagi tetapi kehadiran Mahathir sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah berbeza,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.