KHAIRY TIADA HAK BERCAKAP UNTUK BN – CHOK SIN 

 

Khairy Jamaluddin tiada hak bercakap bagi pihak UMNO atau Barisan Nasional (BN) kerana beliau tiada apa-apa jawatan, kata Setiausaha MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin.

Chok Sin berkata, beliau menghormati kenyataan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berhubung kedudukan MCA dalam BN, namun bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang pandangan lagi.

“Beliau (Khairy) tidak mempunyai jawatan untuk bercakap mengenai MCA. Beliau tidak perlu menyuarakan sama ada MCA wajar bersama BN atau sebaliknya.

“Kenyataan beliau bukan kenyataan rasmi UMNO atau mewakili mana-mana pihak.

“Mungkin pada masa akan datang, jika beliau menjadi Pengerusi BN, beliau boleh bercakap begini kepada kami tetapi pada masa ini, beliau bukanlah Pengerusi BN,” katanya kepada Watan Online pada Selasa.

Chok Sin menegaskan MCA sedang melalui proses penjenamaan semula untuk memastikan kami kekal relevan kepada masyarakat Cina dan rakyat.

“MCA akan membuat keputusan mengenai hala tuju dan masa depan parti selepas pemilihan pada November ini,” katanya.

Sebelum ini, Khairy berkata, BN perlu mencari parti komponen baharu bagi menggantikan MCA untuk memperkukuh sokongan komuniti Cina di negara ini kepada parti itu.

Beliau berkata, keperluan itu timbul kerana MCA masih gagal memulihkan kepercayaan masyarakat Cina sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) hingga PRU14 pada 9 Mei lalu.

Kenyataan Khairy itu sebagai mengulas kenyataan calon Presiden MCA, Gan Ping Sieu yang menggesa MCA keluar dari BN sebagai tanda protes terhadap langkah UMNO yang mula bekerjasama dengan Pas sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada 8 September lalu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.