‘ORANG LUAR’ MERIAHKAN CERAMAH ANWAR – ISA

 

Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Samad yakin sebahagian besar yang hadir pada Ceramah Mega Anwar-Mahathir anjuran Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson, kelmarin, datang dari luar.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak terjejas dengan mesej cuba disampaikan kem PH melalui penganjuran ceramah mega berkenaan, seolah-olah calon mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat sokongan ramai pengundi di Port Dickson.

“Bagi saya (ceramah mega itu) tiada apa-apa. Apa yang perlu dilihat ialah berapa ramai orang Port Dickson yang datang. Itu penting kerana mereka pengundi sebenar.

“Saya tidak tahu berapa ramai orang tempatan yang pergi ke ceramah itu. Kepada orang luar, saya ucapkan selamat datang kerana mereka membantu ekonomi orang Port Dickson.

“Bagaimanapun, saya rasa lebih daripada separuh orang yang datang pada malam itu sebenarnya orang luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama bekas ketua kampung serta ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dari sekitar daerah ini di Port Dickson, pada Rabu.

Ceramah Mega Mahathir-Anwar di PD Waterfront di sini, malam kelmarin, yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk berkempen bagi pihak Anwar dikatakan dihadiri lebih 6,000 orang.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.