ANTARA ‘KEPALA BAPAK’ DAN RUKUN KE LIMA NEGARA

 

Tidak dinafikan di sebalik kejayaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), rakyat mengharapkan perubahan yang mampu membawa negara kembali dihormati di persada dunia.

Walaubagaimanapun setelah hampir lima bulan meneraju pemerintahan negara, kerajaan PH nampaknya masih gagal menunjukkan sebarang kemajuan signifikan kepada negara.

Malah wujud beberapa rangkaian memalukan apabila PH sendiri gagal melaksanakan manifesto yang mereka bentuk sebelum PRU 14.

Para pimpinan tertinggi pula saat ini dilihat sibuk melaksanakan agenda masing-masing sama ada demi pembalasan dendam mahupun mimpi untuk menduduki kerusi nombor satu dalam negara.

Senario dalam Dewan Rakyat juga dilihat tidak berubah. Perkataan biadap dan kata kesat masih menjadi rakaman untuk tontonan rakyat juga penduduk dunia.

Maka timbul persoalan di manakah ruang untuk mengangkat negara supaya kembali disanjung dunia sekiranya wakil rakyat yang dipilih masih gagal menonjolkan keperibadian yang terpuji?

Malah mereka dilihat masih senang dengan penggunaan kata-kata kesat yang langsung tidak mencerminkan budaya sopan santun masyarakat timur.

Jadi tidak hairan perkataan biadap seperti “kepala bapak kau” yang dilontarkan seorang ahli Parlimen DAP di sidang dewan rakyat baru-baru ini yang disambut dengan maki hamun masih kedengaran walaupun Malaysia kini sudah baharu.

DIALOG FILEM P. RAMLEE BUKAN RUJUKAN MENCARUT

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Sederetan filem-filem malar segar dengan dialog-dialog lucu bikinan beliau yang masih diingati ramai membuktikan betapa layaknya P. Ramlee diangkat sebagai Seniman agung.

Di sebalik filem-filem arahan mahupun lakonan beliau, pasti kita dapati banyak nilai moral serta pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.

Filem seperti Pendekar Bujang Lapok yang mengisahkan perjalanan Ramlee, Aziz dan Sudin berguru silat dengan Pendekar walaupun Mustar sehingga menewaskan ahli perniagaan angkuh bersama samseng-samsengnya itu secara tidak langsung menerapkan nilai murni seperti kelebihan menuntut ilmu, bersifat merendah diri kepada golongan berilmu dan lebih tua serta tidak mengamalkan sifat buruk yang akhirnya membinasakan diri sendiri.

Justeru itu, kenyataan ahli Parlimen DAP yang merasakan perkataan “kepala bapak” yang digunakan dalam Parlimen sehingga menimbulkan kekecohan sebagai tidak biadap kerana turut termuat dalam dialog filem Pendekar Bujang Lapok merupakan sesuatu yang tidak masuk akal dan jelas menunjukkan kecelaruan beliau dalam memahami mesej nilai murni yang terdapat dalam filem tersebut.

Tindakan menyandarkan perbuatan beliau sebagai mencontohi perkataan yang pernah diucapkan bekas perdana menteri dalam kerajaan lama juga tidak wajar digunakan oleh seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang konon mahu membawa perubahan positif kepada negara.

PENGHAYATAN TERHADAP RUKUN KELIMA NEGARA

Prinsip Rukun Negara mula diperkenalkan pada tahun 1970 iaitu setahun selepas berlakunya peristiwa menyedihkan 13 Mei 1969.

Lima prinsip rukun negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan bukan sahaja menjadi tiang bagi negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan etnik, malah menjadi ideologi kepada negara.

Dalam usaha untuk menjamin kesepakatan serta keharmonian hidup bernegara, intisari rukun negara wajar dijadikan pegangan setiap warganegara Malaysia. Lafaz ikrar rukun negara yang diterapkan sedari awal persekolahan menjadi bukti peri pentingnya prinsip ini kepada hidup bermasyarakat di negara ini.

Rukun kelima negara iaitu kesopanan dan kesusilaan merupakan manifestasi kepada budaya masyarakat timur yang penuh dengan adab sopan serta susilanya yang bermaksud baik budi bahasa.

Rukun ini memberi panduan bagaimana seharusnya sikap seseorang individu mencerminkan dirinya sebagai warganegara Malaysia.

Justeru dengan mengamalkan rukun kelima ini, konflik antara kaum mahupun perbalahan sesama sendiri dapat dielakkan. Sekaligus membolehkan Malaysia dihormati di mata dunia sebagai negara multi kaum yang harmoni.

Jadi amat malang sekiranya wakil rakyat yang dilantik bagi mewakili suara dan aspirasi rakyat gagal menonjolkan budaya, kesopanan serta kesusilaan masyarakat yang diwakilinya.

Dalam era Malaysia baharu ini, perubahan yang dituntut bukan sahaja meliputi aspek reformasi institusi malahan juga perubahan sikap dan pengembalian jati diri masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang unggul dengan nilai moral tinggi, selaras dengan prinsip kelima rukun negara yang sama-sama kita lafazkan sedari bangku sekolah dahulu.

Begitu juga halnya ahli Parlimen yang turut merupakan sebahagian daripada warganegara Malaysia. Walaupun wujud keperluan untuk mengkritik atau melontar hujah dalam Dewan Rakyat, namun penggunaan bahasa yang sopan wajar digunapakai.

PERUBAHAN BERMULA DENGAN UMNO

Sebagai sebuah badan politik yang mempunyai wasilah perjuanganku i’m intokoh bahasa dari Pendeta Za’Ba, Abdul Rahim Kajai sehingga A. Samad Ismail, gerakan mendaulatkan rukun negara kelima sekaligus perjuangan mendaulatkan bahasa ini wajar diusahakan oleh anggota Parlimen UMNO.

Juga sebagai sebuah parti tertua di negara ini, UMNO wajar melatih ahlinya ahlinya ajar dijadikan contoh ahli Parlimen terbaik yang menyanggah dengan hujah tanpa menanggalkan nilai kesopanan bahasa sebagai manifestasi terhadap perjuangan melestarikan bahasa kebangsaan.

Sesuai dengan peranannya sebagai jiwa bangsa, anggota Parlimen UMNO wajar menitikberatkan penggunaan bahasa yang betul dan tepat dalam Parlimen meskipun perlu menyuarakan isu kritikal berkaitan apa yang diperjuangkan.

Hal ini supaya anggota Parlimen lain baik kerajaan mahupun pembangkang menjadikan amalan penggunaan bahasa yang sopan oleh anggota Parlimen UMNO sebagai panutan untuk bersuara dalam Dewan yang Mulia.

Perkara ini juga bagi memberi pengajaran baik kepada ahli Parlimen lain supaya tidak berulang kembali insiden ahli Parlimen yang mengambil nilai negatif daripada orang lain bagi menghalalkan pertuturan kasarnya itu.

 

Oleh : Syakirin Daud 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.