BERNAMA PERLU BEBAS POLITIK – SHAMSUL ANUAR

 

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah mempersoalkan pelantikan bekas editor The Rocket milik DAP, Wan Hamidi Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Menurut beliau, Wan Hamidi yang aktif dalam politik kepartian bakal menguburkan identiti Bernama sebagai agensi bebas.

“Pelantikan ini sama sekali bertentangan dengan kenyataan Menteri Penerangan, Gobind Singh Neo baru-baru ini bahawa agensi berita tidak lagi perlu diketuai oleh seseorang yang berkepentingan politik.

“Beliau juga berkata, akhbar dan agensi berita harus bebas dan non-partisan dalam liputan dan tidak memihak mana-mana parti politik.

“Malangnya, Gobind sendiri tidak dapat mengotakan kata-kata dalam mempertahankan media itu bebas dalam sebarang campur tangan politik terutama dalam kes pelantikan Wan Hamidi di Bernama,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Shamsul yang juga anggota Parlimen Lenggong berkata kerajaan perlu memenuhi tuntutan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu membebaskan media daripada cengkaman parti politik.

Menurutnya, Bernama sebagai sebuah agensi yang mempunyai kredibiliti akan terjejas dengan tindakan pentaksub agenda politik yang mahu menjadikan Bernama sebagai semata-mata apparatus kepada kerajaan.

“Bernama memiliki kredibiliti berbeza dengan agensi berkaitan kerajaan lain kerana undang-undang tubuhnya yang sama sekali berlainan.

“Adalah dikhuatiri kredibilitinya yang selama ini terpelihara, akan merudum jika kerajaan mengenakan cengkaman ke atasnya.

“Saya harap Kerajaan PH bersikap adil dan benar membebaskan media dari sebarang pengaruh sebagaimana dalam janji mereka. Bagaimanapun sangat malang nampaknya kebebasan media ketika ini tidak berlaku sebagaimana dahulu,” ujar beliau.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.