KEPUTUSAN ROZMAN LANGKAH BAIK BUAT SABAH – SHAFIE

 

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli meninggalkan UMNO dan menyertai parti itu sebagai langkah yang baik bagi meningkatkan kerjasama industri antara Sabah dan pulau bebas cukai berkenaan.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, keputusan itu juga membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan di Labuan untuk kepentingan penduduk wilayah itu serta rakyat negeri ini khususnya.

“Ini satu langkah yang baik dan membolehkan kita dapat memastikan supaya Labuan itu juga sebahagian kawasan yang kita beri tumpuan (kerjasama).

“Jadi kita perlu ada usaha sama, kita tidak harus tinggalkannya (Labuan ketinggalakan). Ada beberapa industri, Sabah Energy ada di situ (menjalankan projek berkaitan minyak dan gas) yang perlu kita tingkatkan keupayaan. Jadi kita tidak boleh tinggalkannya (Labuan) dengan industri Sabah,” katanya ketika mengulas keputusan Ahli Parlimen Labuan itu.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-23 Kolej Teknikal Yayasan Sabah di Kota Kinabalu, pada Khamis.

Rozman hari ini mengesahkan keluar daripada UMNO dan menyerahkan borang bagi menyertai WARISAN kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Darell Leiking dalam satu majlis khas di Labuan.

Rozman yang menjadi Ahli Parlimen Labuan sejak tahun 2013 berkata, keputusan itu dibuat selepas berfikir panjang dan mendengar pandangan pelbagai pihak demi masa depan Labuan dan kesejahteraan rakyatnya.

Keputusan itu membolehkan WARISAN kini memiliki sembilan kerusi di Dewan Rakyat.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.