MAHKAMAH TOLAK RAYUAN SHAFEE

 

Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Khamis menolak rayuan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai saman fitnah yang difailkannya terhadap Badan Peguam Malaysia, Peguam Negara Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George berhubung kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat kedua melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah yang mempengerusikan panel tiga anggota memutuskan rayuan Shafee tidak mempunyai merit.

“Kami mendapati tiada merit dalam rayuan itu dan menolak rayuan itu,” katanya.

Panel hari ini turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abd Majid dan Datuk Ahmadi Asnawi.

Shafee memfailkan saman itu kerana mendakwa bahawa Tommy yang disokong oleh George telah menyiarkan dan memfailkan usul untuk dibincangkan pada AGM 14 Mac 2015 berkaitan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar yang didengar di Mahkamah Persekutuan.

Peguam itu berkata Majlis Peguam dan Christopher telah menyiarkan usul dalam laman web Badan Peguam Malaysia bertajuk ‘Agenda dan Usul bagi Mesyuarat Agung Tahunan ke-69 Badan Peguam Malaysia’ yang boleh diakses oleh semua anggota badan itu.

Usul itu, antara lain, menyentuh kelakuan Shafee sebagai pendakwa raya yang mengadakan jerayawara (roadshow) berkaitan kes liwat Anwar.

Shafee mendakwa bahawa berikutan penyiaran usul tersebut, defendan-defendan secara berniat jahat telah memfitnahnya untuk memusnahkan reputasi dan kerjaya beliau dalam bidang guaman.

Shafee yang ditemui wartawan kemudian berkata beliau akan merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana beranggapan mereka telah terkhilaf.

“Bagaimanakah seseorang itu boleh membentang usul untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap sesorang individu melalui AGM?” soalnya.

“Saya akan membuat rayuan kepada panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan.”

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.