PESTA ARAK BOLEH DITERUSKAN…

 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menegaskan pesta arak ‘Oktorberfest 2018’ yang berlangsung di Mid Valley hari ini boleh diteruskan selagi tidak melanggar undang-undang.

Beliau berkata, pesta itu diadakan di kompleks membeli-belah dan dijalankan secara tertutup.

“Oktoberfest itu kalau dalam premis tidak ada keluar, tidak ada mabuk kacau orang dalam premis tidak apa sebab mereka memang jual arak, alkohol di dalam tu.

“Kalau minum dalam premis tu, minumlah tapi kalau letak iklan besar-besar itu tidak boleh, itu kita akan turunkan bagaimana kita telah buat terhadap iklan yang dipasang di Sungai Besi kita turunkan serta merta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018, di ibu negara, pada Khamis.

Dalam masa sama beliau mengesahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga kini tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan pesta arak.

Namun ujarnya, pemantauan akan tetap dilaksanakan terhadap penganjuran pesta arak di Mid Valley itu untuk memastikan ia tidak dibawa keluar.

“Memang setakat ini saya tidak menerima sebarang permohonan. Mid Valley tu kita pergi (buat tinjauan) sebab ia di dalam. Tapi kita tetap akan pantau, jika dibawa keluar kita sita,” katanya.

Terdahulu pada Selasa lalu, Menteri Wilayah Khalid Samad berkata, pesta arak ‘Oktorberfest 2018’ boleh dianjurkan jika pihak penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan DBKL.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.