TIADA HASRAT SERAH MAAHAD – NIK OMAR

 

Pemegang amanah Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abdul Aziz nafi pernah menghantar permohonan untuk menyerahkan sekolah itu kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menurut beliau, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyerahkan tanggungjawab pemegang amanah itu kepadanya selaku anak sulung Allahyarham pada 2008.

Katanya, beliau sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah maahad yang terletak di Pulau Melaka, Kota Bharu itu tidak pernah terlintas untuk menyerahkan mandat itu kepada sesiapa.

“Apabila saya diamanahkan wasiat dan mandat tersebut, saya terima dengan rasa tanggungjawab kerana minat saya yang mendalam dalam bidang pendidikan.

“Kesimpulannya saya sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah tidak terlintas untuk menyerahkan mandat kepada sesiapa, dan saya akan terus melangkah untuk memastikan impian saya dan Tuan Guru terlaksana,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nik Omar, pihak keluarga tidak sepatutnya membuat apa-apa permohonan mengenai sekolah dan wakaf berkenaan kerana harta wakaf itu bukan milik keluarga, malah bukan juga miliknya secara peribadi.

“Saya hanyalah pemegang amanah, bukan pemilik. Saya tidak boleh dan tidak pernah berhasrat untuk memiliki atau menguasai harta wakaf berkenaan.

“Saya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah untuk menguruskan Maahad Darul Anuar. Mana-mana pihak tidak sepatutnya membangkitkan isu menuntut hak, sebaliknya patut sama-sama berusaha untuk mengembangkan mutu pendidikan dan pembelajaran demi kepentingan semua,” katanya.

Beliau turut menegaskan, operasi Maahad Darul Anuar masih berjalan seperti biasa dan pihaknya sedang menguruskan pengambilan pelajar baharu bagi sesi 2019.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.