FAS: BERI KEPERCAYAAN KEPADA TENGKU AMIR – AMIRUDIN

Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu diberi kepercayaan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha dan agenda pembaharuan yang dilakukan Tengku Amir Shah selaku Presiden Persatuan Bola Selangor (FAS).

“Saya mengambil berat dan mengikuti dengan teliti perkembangan terbaru FAS khususnya kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda.

“Sokongan dan komitmen kerajaan negeri ini telah dizahirkan dalam pelbagai aspek antaranya dengan suntikan dana berjumlah RM5 juta bagi menyelesaikan beberapa tunggakkan pentadbiran FAS sebelum ini.

“Sokongan yang dizahirkan oleh Kerajaan Selangor kepada FAS adalah atas keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan RMS sebagai Presiden FAS serta harapan peminat bola sepak Selangor yang mahukan FAS berjaya,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Amirudin berkata, pertelingkahan dan perpecahan hanya akan membawa kesan negatif kepada FAS yang seterusnya akan mengakibatkan hilang kepercayaan dari peminat bola sepak Selangor dan sokongan dari Kerajaan Selangor.

“Perlu diingat bahawa agenda ini tidak akan membuahkan hasil sekelip mata sebaliknya memerlukan masa dan sokongan semua pihak untuk direalisasikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyeru kepada ahli EXCO FAS dan semua kelab gabungan serta persatuan yang bernaung di bawah FAS agar dapat memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi kepada kepimpinan RMS.

“Kerajaan Selangor berharap agar semua pihak yang terlibat dapat mengetepikan perbezaan dan agenda individu untuk memastikan fokus diberikan kepada persediaan pasukan bola sepak Selangor terutama menjelang pra musim 2019,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Amir Shah dilaporkan murka apabila dimaklumkan pada 1 Oktober lalu terdapat memorandum yang telah dihantar oleh ahli gabungan FAS supaya diadakan 0Kongres Luar Biasa (EGM) untuk melantik keseluruhan Exco yang baharu termasuk jawatan Presiden .

Baginda menyifatkan individu yang mahu memanggil EGM FAS sebagai ‘serigala berbulu domba’.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.