TOK MAT SETIA BERSAMA ZAHID

 

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan sokongan penuh kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, penahanan itu tidak akan menghalang khidmat bakti UMNO terhadap rakyat selain tidak akan melemahkan proses pemulihan parti.

“Khidmat bakti UMNO kepada rakyat Malaysia juga tidak akan berhenti dan terganggu.

“Saya dan rakan-rakan dalam UMNO ingin menzahirkan sokongan dan setia kawan yang mendalam terhadap Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid Hamidi dan keluarganya dalam saat yang mencabar seperti sekarang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Semalam media melaporkan yang pihak SPRM telah menghantar notis serah diri terhadap Ahmad Zahid dan dijangka akan berdepan pertuduhan esok.

Mohamad juga menggesa agar penahanan Presiden UMNO itu tidak seharusnya dijadikan spekulasi yang tidak berasas.

“Wujud spekulasi bahawa beliau akan didakwa tidak lama lagi. Sejauh manakah kebenaran dan kesahihan spekulasi tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dipastikan pada saat ini.

“Saya menyeru agar kita tidak terburu-buru dalam segala kenyataan, tindakan dan perlakuan kita.

“Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan perkara ini dengan mendalam.

“Ini khususnya bagi memutuskan hala tuju dan tindakan selanjutnya. Apa jua keputusan MT akan menjadi pendirian dan panduan untuk semua anggota parti,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.