ANWAR VS WAN AZIZAH UNTUK JAWATAN NO. 2

 

ANWAR Ibrahim memasuki Dewan Rakyat kali ini sebagai seorang backbencher kerajaan tapi tidak mungkin dia akan duduk diam sahaja sebagai penyokong parti pemerintah.

Sudah dihebahkan kepada umum bahawa dia bakal mengambil alih sebagai Perdana Menteri di suatu masa yang sesuai kelak.

Tapi, bilakah ia akan berlaku dan, sementara itu, apa tugasan khas yang akan diberikan kepada Anwar, selain dia melaksanakan kerja-kerja membantu rakyat yang memilihnya di pilihanraya kecil Port Dickson?

Kita lihat dulu  perwatakan Anwar.

Dia berminat berinteraksi dengan tokoh-tokoh dunia yang terkenal, suka berhujah dan mengupas idea-idea yang hebat, gemar mengunjungi institut-institut yang masyhur di merata tempat di dunia, dan sangat teruja bila dikehendaki berceramah di perjumpaan-perjumpaan antarabangsa di tempat-tempat yang tersohor.

Anwar amat suka bila dia diperhati dan didengari oleh dunia, lebih-lebih lagi bila dia memberi ucapan atau ceramah dengan petikan kata-kata pujangga dari ahli falsafah, sasterawan, sarjana dan negarawan-negarawan dunia yang terkenal.

Sememangnya, perwatakan beliau sangat berbeza dengan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Setelah lima bulan menyandang jawatan No.2 tertinggi dalam kerajaan, Dr Wan Azizah sendiri dapat menilaikan dirinya dan, jika perlu, redho melepaskan kedudukan itu kepada Anwar.

Setakat ini Dr Wan Azizah tidak dapat menghayati dan menjiwai sebaik-baiknya peranan beliau sebagai orang kanan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Wan Azizah tidak berupaya memberi kupasan yang bernas kepada isu-isu yang dipertengahkan oleh pihak media, selain membaca teks yang sudah disediakan dalam ucapan-ucapan rasminya.

Lagi pun, Dr Wan Azizah sudah punyai tanggungjawab kepada Kementerian Ehwal Wanita, Kemasyarakatan dan Keluarga,di mana dia dapat menggunakan sifat keibuan dan keperihatinnya bagi rakyat jelata.

Beliau tidak perlu berkemut kepada jawatan yang tidak sesuai dengan perwatakannya.

 

PENGAJARAN MASA SILAM

Bagi Anwar, tentunya beliau sudah mendapat pengajaran yang berguna dari peristiwa-peristiwa lampau; khususnya  tatkala beliau dilucutkan keahlian sebagai ahli dan Timbalan Presiden UMNO dan disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada bulan September 1998.

Di tika itulah bermulanya pergerakan reformasi dan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sewaktu itu, di bawah regim Dr Mahathir selaku Perdana Menteri keempat, Anwar dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya.

Dia dihukum penjara selama sembilan tahun. Namun keputusan itu dibatalkan pada tahun 2004.

Pada tahun 2008, ia itu setelah pentadbiran bertukar tangan kepada Abdullah Ahmad Badawi, beliau juga dituduh meliwat seorang lagi pembantu lelaki dan dibicara sepanjang tahun 2010 dan 2011.

Akhirnya,pada Januari 2012, dia dibebaskan.

Namun, keputusan itu dibatalkan oleh mahkamah rayuan pada bulan March 2014, bila Najib Abdul Razak pula telah mengambil alih sebagai perdana menteri, dan Anwar dikenakan hukuman lima tahun dalam penjara.

Tarikh Mei 16 lalu, ia itu seminggu selepas pilihanraya umum (PRU) ke14, yang menyaksikan keruntuhan pemerintahan Barisan Nasional setelah 60 tahun mentadbirkan negara, merupakan tarikh yang mempunyai hikmah tersendirinya pada Anwar.

Pada hari itu, dia mendapat pengampunan Istana dari Yang diPertuan Agong Sultan Mohammad V, yang membenarkan dia berkecimpung semula secara aktif di gelanggang politik tanahair.

Kali ini, dengan sikap yang lebih berwaspada, Anwar berkata dia tidak bergesa-gesa untuk mengambil tempat Dr Mahathir sebagai ketua kerajaan.

Sebaliknya, beliau menyatakan peranannya di Dewan Rakyat adalah kearah Parliamentary reforms (mereformasikan tatausaha Parliamen).

Kita tunggu samada diantara reformasi yang akan dilakukan ialah mendesak Parlimen menghalang pilihanraya kecil diadakan semata-mata untuk melayani kepentingan peribadi individu.

 

PRU MEMBENTUK KERAJAAN

Dalam sistem politik yang diamalkan oleh kebanyakan negara – dan Malaysia tidak dikecualikan – kerajaan dibentuk hasil daripada PRU.

Ertinya, rakyat yang didaftarkan sebagai pengundi mempunyai kuasa untuk menentukan parti politik manakah yang layak diberi mandat untuk memerintah.

Parti yang diberi kuasa menubuhkan kerajaan sedaya mungkin akan bekerja meningkatkan taraf hidup rakyat dalam pelbagai aspek hidup, termasuk  kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan,kesihatan dan keselamatan dalam negara.

PRU diadakan setiap lima tahun; lalu memberi ruang untuk rakyat meninjau keberkesanan parti yang memerintah dan beralih kepada yang lain jika mereka tidak puas hati atau bosan dengan pemerintahan semasa.

Di antara satu penggal PRU dan penggal yang seterusnya,  acapkali berlangsung pilihanraya-pilihanraya kecil disebabkan beberapa perkara berdarurat.

Yang biasa kita dengar ialah kematian wakil rakyat; atau wakil rakyat terlalu uzur untuk berkhidmat atau wakil rakyat  dikenakan hukuman mahkamah keatas kesalahan-kesalahan tertentu.

Sejak PRU14 pada bulan Mei lalu, tiga pilihanraya kecil telah diadakan bagi mengisikan kekosongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ekoran kematian wakil-wakil rakyat di kawasan Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Kesemuanya dimenangi oleh parti-parti bloc Harapan; iaitu PKR (di Sungai Kandis dan Seri Setia) dan DAP di Balakong.

Pilihanraya kecil di Port Dickson pada Okt 13 lalu, merupakan yang pertama melibatkan kawasan Parlimen.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) dilaporkan membelanjakann RM3.5 juta bagi mengadakan pilihanraya kecil itu yang boleh diandaikan sebagai kos yang dibiayai rakyat untuk meletakkan Anwar di kerusi itu.

Sebabnya ia diadakan ialah untuk membuka laluan kepada Anwar menjadi perdana menteri kelapan Malaysia.

Perkara ini, walaupun tidak termaktub sebagai suatu catatan bertulis, lahir dari pertemuan Anwar dan Dr Mahathir pada Sept 5, 2016.

Di antara persefahaman yang tercapai di  pertemuan itu ialah; Dr Mahathir akan dicalonkan sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh andainya pakatan pembangkang berjaya menumpaskan kerajaan Barisan ketika itu di PRU14.

Dan, sebaik saja dia disahkan sebagai ketua kerajaan, Dr Mahathir akan memohon pengampunan DiRaja untuk membebaskan Anwar dari segala kesalahannya di masa lampau.

Dengan kemenangan beliau di pilihanraya kecil Port Dickson , buat kali pertama dalam sejarah pilihanraya Malaysia, sepasang suam-isteri dan seorang anak mereka menduduki Dewan Rakyat dalam penggal yang sama; menyebelahi parti yang sama.

Sudah tentu, sang suami ialah Anwar manakala si isteri pula ialah Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Jika Dr Wan Azizah enggan melepaskan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, atas apa-apa alasan pun,  Dr Mahathir perlu melihat kepada alternatif lain.

Menyedari juga Anwar tidak akan berdiam diri sekadar menjadi Ahli Parliamen biasa saja, Dr Mahathir mungkin akan mengadakan suatu rombakan kabinet kecil bagi membolehkan Anwar mengambil bahagian secara langsung dalam pentadbiran kerajaan.

Tanpa mengganggu-gugat kedudukan ahli kabinetnya, lebih senang bagi Dr Mahathir memujuk saja Dr Wan Azizah menyerahkann jawatannya kepada Anwar.

 

  • Oleh: SHAH ADYLL DADAMEAH
  • Penulis adalah bekas Wartawan terkenal Akhbar The Star

 

Tamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.