‘MAHAZALIM’, ‘MAHAFIRAUN’ KEMBALI – PUAD

 

Penahanan dan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertujuan untuk membunuh parti Melayu itu, kata Datuk Dr Puad Zarkashi.

Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat itu berkata, apa yang berlaku kepada Presiden UMNO itu melengkapkan agenda zalim rejim Tun Dr Mahathir Mohamad-DAP.

“Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan iaitu semata mata untuk memalukan UMNO, menekan UMNO, memecahbelahkan UMNO, menakutkan pemimpin UMNO lain, mengelirukan ahli UMNO dan meyakinkan rakyat bahawa pemimpin UMNO memang korup.

“Puas hati Tun M kerana berjaya menghina pemimpin utama UMNO iaitu (Datuk Seri) Najib (Razak) dan Zahid sehingga terpaksa turun naik mahkamah beberapa kali dan tidur di lokap. Bukan itu sahaja famili mereka juga turut didera dan dimalukan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Zahid berhubung dakwaan rasuah, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Menurut Puad, sasaran Mahathir kini untuk membunuh UMNO kerana parti Melayu itu dilihat ‘liat’ untuk dimatikan berbanding parti-parti komponen BN yang lain.

“Sebab itu tidak ada pemimpin MCA, MIC dan Gerakan yang disiasat dan didakwa.

“Kenapa? Jawapannya mudah, Tun M tidak berminat. Ketiga tiga parti berkenaan pada beliau sudah mati. Tidak perlu dimatikan lagi. Tetapi UMNO nampak liat untuk mati.

“Tun M kecewa kerana selepas PRU ke-14, UMNO belum lagi mati-mati,” ujarnya.

Dalam kenyataannya Puad juga berkata Perdana Menteri cuba menakutkan pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamad yang bertindak keluar parti baru-baru ini.

“Beliau berjaya menakutkan Tok Pa yang dianggap sebagai ‘Mr Clean’ dalam UMNO.

“Tok Pa berjiwa kecil. Setelah disoal siasat beberapa jam beliau terus keluar parti. Alhamdulillah, tidak ada siapa yang mengikuti jejaknya hatta pemimpin akar umbi di Jeli.

“Kini, gelaran Mahazalim dan Mahafiraun kembali berkemundang,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.