TAHANAN POLITIK: OPS LALANG KEMBALI!

 

Pada bulan Oktober 1987, di bawah pemerintahan Perdana Menteri yang sama iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, seramai 106 pemimpin politik pembangkang telah ditangkap dan disumbat ke dalam penjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

31 tahun kemudian pada hari ini perkara yang sama berulang kembali. Sejak dua bulan kebelakangan ini sekurang-kurangnya enam orang pemimpin politik pembangkang telah dipanggil oleh Kerajaan untuk disoal siasat dan tiga daripada mereka telah disumbat ke dalam lokap termasuklah mantan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO kini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam bulan-bulan akan datang ini dijangkakan lebih ramai lagi pemimpin politik pembangkang akan ditangkap dan ditahan oleh Kerajaan.

Sejarah penindasan politik ke atas pembangkang di Malaysia era tahun 1980-90an kini berulang kembali, di mana kerajaan kini mahu melemahkan atau menghapuskan pembangkang dengan menekan, menindas dan menarik pembangkang untuk menyertai dan tunduk kepada telunjuk parti Kerajaan.

Sesiapa yang engkar akan dihapuskan atau disumbat ke dalam penjara.

Episod penangkapan pemimpin-pemimpin politik pembangkang oleh kerajaan melalui SPRM pada bulan-bulan kebelakangan ini terang-terangan bukan untuk menghapuskan rasuah, namun ianya adalah untuk menghapuskan musuh politik. Ianya adalah suatu penangkapan dan penindasan politik.

Jika Kerajaan betul-betul adil dalam menegakkan undang-undang dan menghapuskan rasuah, maka mana mungkin tiada seorang pun pemimpin Kerajaan dari Pakatan Harapan (PH) yang disoal siasat dan ditangkap sejak pilihan raya umum lalu.

Umum tahu mereka terpalit dengan pelbagai isu rasuah semasa mentadbir di negeri Selangor dan Pulau Pinang. Adakah mereka-mereka ini kini telah suci murni setelah menang pilihanraya?

Malah seorang daripada mereka yang bertaraf menteri telah dibebaskan walaupun keterangan semua saksi belum habis didengar di mahkamah. Sebaliknya ramai pemimpin pembangkang kini yang menjadi sasaran dan ditangkap.

Jika pembangkang lemah atau dihapuskan maka akan wujud sistem satu parti di Malaysia iaitu parti kerajaan di bawah PH tanpa pembangkang.

Apabila ini berlaku maka tidak akan ada semak imbang politik dan dasar di negara ini dan kerajaan akan terus boleh mengkhianati rakyat tanpa timbal balas.

Mereka boleh terus menipu dan mungkir janji kepada rakyat kerana mereka tahu tiada pencabar yang kuat untuk menjatuhkan mereka dalam pilihanraya.

Dan Perdana Menteri boleh terus menjadi diktator dengan kuasa ‘drakonian’ tanpa mempedulikan rakyat.

Kerajaan begini juga boleh menukar Perlembagaan dan menghapuskan institusi Raja-raja Melayu jika mereka mahu. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku. Sebab itu kita kena tentang mereka habis-habisan.

Oleh Isham Jalil
Penulis ialah bekas pegawai khas kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.