PEMILIHAN SEMULA PKR KEDAH HARI INI, ESOK

 

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah yang diadakan semula selepas proses pengundian pada 22 September lepas dibatalkan, berlangsung pada hari ini dan esok.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Kedah, Dr Azman Ismail, berkata pemilihan parti itu hari ini hanya melibatkan 10 cabang iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, Sik dan Baling.

“Lima cabang lagi iaitu Jerai, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu dijadualkan Sabtu. Ini pemilihan kali kedua selepas ia ditangguhkan dan dibatalkan ekoran insiden kekecohan yang berlaku di cabang Merbok, Sungai Petani dan Jerai pada 22 September lalu,” katanya ketika dihubungi.

Dr Azman berkata, hampir 60,000 anggota PKR di negeri ini layak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan di peringkat pusat dan cabang pada pemilihan parti itu kali ini.

“Kita lebih bersedia kali ini dan berharap semua anggota parti dapat bertenang membuat undian supaya ia berjalan lancar seperti yang dijadualkan, dan proses pengundian berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, boleh ditambah masa sekiranya bermula lewat,” katanya.

Dr Azman berkata, anggota keselamatan juga ditempatkan di kawasan panas seperti di pusat pengundian Cabang Merbok untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Ismail Yusop, pada sidang media 22 September lalu, berkata proses pemilihan di Kedah dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh ditetapkan kelak berikutan terdapat beberapa masalah dihadapi ketika proses pengundian itu.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.