PEMILIHAN PKR KUALA SELANGOR DISABOTAJ

 

 

Pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang ditangguhkan berikutan masalah teknikal tengah hari tadi didakwa berpunca daripada perbuatan sabotaj.

Dakwaan sabotaj itu timbul berikutan penemuan alat dipercayai bagi penghalang isyarat data dan panggilan keluar masuk (signal jammer device) oleh pekerja pembersihan di tempat duduk penyokong di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor, yang menjadi pusat pengundian.

Salah seorang calon Angkatan Muda Keadilan (AMK), R. Sabahbathi memberitahu ekoran penemuan alat tersebut, beliau bersama calon Naib Ketua AMK, M. Gohgilarajan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Selangor.

Dakwanya, alat itu dipercayai diletakkan secara sengaja oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mengganggu proses pemilihan tersebut.

“Alat itulah dipercayai mengganggu isyarat data internet dan panggilan keluar masuk sehingga pemilih PKR cabang ini tidak boleh dijalankan.

“Saya percaya alat itu telah dihidupkan pada pukul 10.30 pagi sewaktu pemilihan hendak dijalankan sehingga menyebabkan data internet tidak dapat digunakan sekaligus menyebabkan sistem e-undi tergendala,” katanya di Kuala Selangor, Ahad.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Rashid Din dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook rasmi Pemilihan Keadilan 2018 mengesahkan penundaan tersebut dibuat berikutan ketiadaan capaian internet.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.