SETIAUSAHA PAN RASAH MAUT KEMALANGAN

 

Setiausaha Parti Amanah Negara (PAN) kawasan Rasah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 288.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur Bandar Seri Putra, Kajang.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, mangsa Abu Hanifah Mohd Kamal,35, yang memandu kereta jenis Honda City gagal mengelak sebuah lori yang hilang kawalan akibat tayar pecah.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu berpunca daripada sebuah lori yang terbabas selepas tayar hadapannya pecah.

“Lori yang tidak bermuatan itu dari arah Kuala Lumpur menuju ke Nilai dan berada di lorong kiri.

“Setiba di kilometer 288.3 secara tiba-tiba tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan pecah menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata, lori berkenaan kemudian masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Honda City dan Perodua Myvi.

“Kedua-dua kereta itu adalah dari Nilai menuju ke Kuala-Lumpur. Akibat kemalangan terbabit, pemandu Honda City mengalami kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk hadapan bahagian pemandu,” katanya.

Tambah beliau, mangsa dikeluarkan dari kenderaan berkenaan oleh anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda PAN Negeri Sembilan, Zaki Sabri berkata, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Sheikh Haji Mohd Said di Rasah.

“Arwah adalah seorang aktivis yang berharga kepada PAN,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.