CABUL: SHAHIDAN PERTIMBANG TINDAKAN UNDANG-UNDANG

 

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang sengaja menyebarkan kes cabul remaja bawah umur membabitkan dirinya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan kehairanannya terhadap tindakan pihak terbabit walaupun keluarga remaja perempuan berkenaan sudah menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Saya akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan boleh diambil terhadap pihak yang sengaja menyebarkan berita ini.

“Saya pelik kenapa perlu sebarkan lagi kerana keluarga remaja itu sudah menarik laporan polis.

“Kes ini sudah ditutup, kenapa perlu dipanjangkan oleh pihak media dan pihak tertentu,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri peguamnya, Thalia Rohaina Abdul Latiff di Parlimen, pada Rabu.

Shahidan menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada polis untuk menjalankan siasatan dan sedia memberi kerjasama diperlukan.

“Apa yang penting sekarang ialah maruah remaja terbabit dan keluarganya. Jangan sebarkan lagi cerita ini.

“Saya tidak kisah jika ini hanya babitkan diri saya tetapi ini membabitkan maruah dan masa depan remaja berkenaan,” katanya.

Ketika kejadian, Shahidan mendakwa mengunjungi tempat pertunjukan kumpulan buskers yang turut dianggotai remaja terbabit sebagai penyanyi untuk menyerahkan sumbangan diminta mereka.

“Saya tiba jam 11.40 malam dan selepas menyerahkan sumbangan kepada mereka, saya terus pulang.

“Malah, keluarga remaja itu juga berada berhampiran kenderaan saya ketika itu.

“Esoknya, pengurus kumpulan busker itu bernama Azhar memberitahu keluarga penyanyi kumpulan buskers itu mahu berjumpa saya. Saya pergi jumpa mereka dan terkejut apabila diberitahu mereka membuat laporan polis terhadap saya atas dasar salah faham.

“Mereka juga memberitahu sudah menarik balik laporan terbabit.

“Saya tidak ambil hati kerana kami sudah bermaaf-maafan dan saya pasti keluarga remaja itu memahami kerana saya menganggap kumpulan buskers ini sebagai anak dan cucu saya,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk R Sri Sanjeevan, dilapor mendakwa wujud cubaan ‘menutup’ satu kes cabul remaja perempuan berusia 15 tahun oleh seorang kenamaan, baru-baru ini.

Sanjeevan mendakwa remaja perempuan itu dicabul Ahli Parlimen berkenaan dalam sebuah kereta di Kangar, Perlis, 20 Oktober lalu, namun belum ada tindakan diambil polis.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.