UMNO MOHON POLIS KEMUKA DOKUMEN WANG DISITA

 

Permohonan UMNO supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan dokumen berhubung sitaan wang RM116.7 juta milik parti itu, akan didengar Mahkamah Tinggi pada 4 Disember ini.

Wang berkenaan disita di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lalu.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili UMNO ketika ditemui pemberita, berkata permohonan anak guamnya akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Antara dokumen yang diminta ialah salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan, salinan senarai wang yang disita, salinan gambar wang yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

Permohonan penzahiran dokumen itu adalah berhubung saman difailkan UMNO membabitkan tuntutan RM116.7 juta milik parti yang didakwa disita polis.

Hariharan berkata, pihaknya sudah menerima permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan anak guamnya, dua hari lalu.

Sementara itu, Peguam Persekutuan Mohd Sallehuddin Mohammad Ali ketika dihubungi, berkata kerajaan memfailkan permohonan membatalkan saman itu pada 29 Oktober lalu, dengan alasan UMNO tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang untuk memfailkan saman terbabit.

Kerajaan juga memohon supaya prosiding kes saman digantung sehingga permohonannya untuk membatalkan saman berkenaan diputuskan mahkamah.

Prosiding pengurusan kes saman hari ini dijalankan di kamar Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Pada 21 September lalu, UMNO melalui pegawai awamnya, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan saman bagi menuntut wang dirampas PDRM itu.

UMNO menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin; Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK, R Rajagopal; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan, UMNO antara lain memohon perisytiharan bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan pada 17 Mei 2018 di premis terbabit, adalah salah di sisi undang-undang.

Parti itu memohon perintah supaya wang RM116.7 juta itu dipulangkan kepada mereka, selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

UMNO berkata, ia adalah pemilik wang disita itu dan menyatakan bahawa defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah serta merampas dan mengambil alih pemilikan dana terbabit.

Plaintif berkata, walaupun ia sudah menuntut supaya wang itu dikembalikan, defendan masih gagal, cuai dan enggan berbuat demikian.

Kata plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan ia kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit dan mengalami kehilangan dan kerugian.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.