HARAPAN DOK PI DOK MAI SAJA

 

 

SUDAH nak masuk enam bulan Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sebagai Perdana Menteri yang ketujuh.

Namun, kerajaan baru beliau kelihatan seperti sudah hilang akar umbi yang dulunya menjadi nadi dan penggerak utama dalam perjalanan Pakatan Harapan ke tampuk kuasa negara.

Ke mana penyokong-penyokong Harapan sudah pergi?

Bak kata orang Pulau Pinang, “Dok pi,dok mai,dok pi, dok mai..dok tang tu jugak.”

Hidup rakyat marhean yang dulunya dibantu, disokong dan diperbaiki melalui pelbagai rancangan pemulihan ekonomi, kini diketepikan – entah sementara atau berkekalan – kerana pihak kerajaan nak perbetulkan infrakstrutur, sistem pengangkutan dan pencukaian awam.

Pada Okt 20 lalu, tatkala membentangkan laporan kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-11, Dr Mahathir  menggariskan beberapa tunggakan yang akan digunapakai sebagai teras memajukan negara di tahun-tahun yang mendatang.

Bagaimanapun, beliau mengawasi rakyat bahawa langkah-langkah berjimat cermat yang bakal diambil kerajaan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tapi,tambah beliau, keadaan ini hanya bersifat sementara.

KLEPTO…APA TU?

Pada mulanya, orangramai begitu teruja bila Dr Mahathir dan rakan-rakannya yang pada suatu masa dulu bermusuhan dengan beliau – berkongsi pentas dan persada untuk menganjurkan sebuah “Malaysia Baru” yang bebas daripada perompak hasil negara.

Dr Mahathir dikatakan mempunyai karisma seorang negarawan yang kembali berkecimpung di kancah politik untuk “menyelamatkan” negara setelah 15 tahun bersara.

Walaupun sudah menjangkau usia lebih 90 tahun, masih berupaya memukau rakyat dengan kata-katanya yang mudah difahami, mudah diulangi dan mudah dipercayai.

Cuma, bila dia kerap berkata “kleptokrasi” sebahagian pendengar merasa lidah mereka terpelecok sedikit bila nak menyebutnya.

Bagi mereka yang kurang mengerti, ia adalah gabungan perkataan “kleptomani” yang bermakna tabiat suka mencuri dan “demokrasi” yang merujuk kepada keadaan atau layanan yang sama dan serata terhadap semua kaum dalam masyarakat.

Maka, “kleptokrasi”, dalam ertikata Dr Mahathir, mungkin bermaksud tabiat mengambil hak orang lain sesuka hati, tanpa mengira orang itu lemah atau berkurangan upaya.

Bila bertubi-tubi dibangkitkan pasal janji di dalam manifesto pilihanraya yang agak kabur dan mudah diputarbelitkan, Dr Mahathir menyatakan manifesto itu bukanlah “kitab suci”.

Katanya lagi, kandungan manifesto boleh berubah mengikut perkembangan dan keperluan semasa.

Mantan menteri perdagangan dan perindustrian antarabangsa Rafidah Aziz,yang kini menjadi penyokong kuat Dr Mahathir, bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri dan menasihatkan beliau supaya tidak bergantung sangat pada manifesto parti.

Katanya, jika terlalu terkongkong dengan manifesto, kerajaan tidak dapat buat keputusan-keputusan yang penting bagi manfaat rakyat.

Turut menyokong, bekas menteri dalam negeri Syed Hamid Albar menghujahkan tiada kerajaan di dunia yang sebulat-bulat berpaut kepada manifesto pilihanraya.

Tapi, tidak semua orang berpendirian sebegitu dan tetap menuntut kepada kerajaan baru agar semua janji di dalam manifesto Harapan menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-14 dilunaskan.

Kini, bukan saja orang tidak mengambil kisah lagi untuk menghadiri majlis anjuran Harapan, malah di suatu acara dialog di antara Dr Mahathir dengan pemandu teksi di Langkawi, beberapa orang hadirin bertindak keluar dewan dan mengejek beliau.

Tersentak, Dr Mahathir terus merajuk dan menyatakan beliau sedia meletakkan jawatan jika rakyat tidak lagi suka dengan cara dia mentadbir negara.

Mungkin pemandu-pemandu teksi berkenaan telah tersilap langkah dan juga tersilap sasaran.

Sepatutnya mereka meluahkan kemarahan terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan setiausaha politiknya Tony Pua yang terbabit dengan cadangan menggunakan Grab sebagai pengangkutan perantara ke stesen MRT.

Atau, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pernah bersekongkol dengan pemandu teksi dalam memprotest Grab.

Tiada siapa yang mengambil pusing, melainkan beberapa komen mengenainya di dalam media.

BELUM CUKUP MATANG

Menambah keresahan rakyat, ada beberapa ahli jemaah menteri dan timbalan menteri yang belum dapat menghayati peranan mereka secara matang dan terus beraksi seperti mereka masih di kerusi pembangkang.

Semasa di Dewan Rakyat gawat dengan isu pramugari mendedahkan aurat, wakil PAS meminta supaya pakaian seragam yang dipakai pramugari disempurnakan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang mungkin tidak memahami mengenai aurat dan aqidah Islam, memberi jawapan seperti seorang loyar buruk atau budak sekolah.

Katanya: “Tak suka, Yang Berhormat tak usah tengok!”

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, kononnya nak tunjuk dia seorang politikus yang profesional, menyatakan kerja pembangkang hanya untuk memalukan kerajaan.

Kenyataan beliau Khamis lepas (25 Okt, 2018) menimbulkan kemarahan di kalangan wakil Barisan Nasional yang menyatakan mereka tidak pernah mengecilkan pihak pembangkang sedemikian tatkala menduduki di pihak kerajaan.

Kata Yang Berhormat dari Barisan lagi, ahli pentadbiran regim baru masih bertindak mengikut rentak seperti mereka belum lagi mendirikan kerajaan.

Cerita dari pejabat Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun ada sedikit kelainan.

Beliau dikatakan tersilap menyelitkan di dalam teks ucapannya agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) semasa berdepan dengan lebih 6,000 hadirin di majlis konvokesyen Kolej Univrsiti Poly-Tech Mara (KUPTM).

Sebaik saja majlis itu tamat, Setiausaha Akhbar  kepada menteri berkenaan meminta balik salinan text ucapan yang telah diedarkan kepada wakil-wakil media yang membuat liputan.

Beliau juga membatalkan sidang media yang dijadualkan dengan alasan menterinya terpaksa gegas ke tempat lain atas urusan penting.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman menjadi perhatian komuniti netizen dan pihak media bila dia sendiri post di Facebook gambar dia sedang berendam di dalam basin mandi dengan hanya memakai celana pendek.

Bila ditularkan, beliau cepat-cepat membatalkan post berkenaan dan memarahi pihak media kerana menjadikan ia bahan berita.

Sememangnya ia suatu khabar yang sensasi; lebih-lebih lagi bila Saddiq sendiri pernah mempelawa pihak media menggambarkan beliau bermain komputer PS4 Playstation di pejabatnya.

Sementara itu, di waktu ibu bapa tengah bimbang pasal masa depan pendidikan anak mereka, Menteri Maszlee Malik kelihatan lebih berfokus kepada warna kasut dan stokin yang patut dipakai oleh pelajar sekolah.

Seolah-olah ia keutamaan untuk mewujudkan anak bangsa yang amanah, bersih dan cemerlang.

Sejak peralihan kuasa blok Harapan pelbagai isu menimbul yang meresahkan rakyat,  khususnya kelompok yang menyokong kedaulatan alif ba ta (agama bangsa dan tanahair). Di antaranya:

* Seorang wanita beragama Hindu ..Kavitha Aruljothi…menggesa Dr Mahathir dan kerajaannya untuk menghapuskan institusi agama Islam di negara ini, seperi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Negeri.

Katanya isu berkaitan dengan agama adalah merupakan hak peribadi  dan tidak sewajar kerajaan menggunakan dana awam untuk membiayai institusi berkenaan.

*Ahli Parlimen Kawasan Miri Dr Michael Teo Yu Keng mencadangkan memansuhkan agama daripada kad pengenalan.

*Peguam Siti Kassim menyatakan penerapan nilai-nilai Islam di dalam urusan pentadbiran menyebabkan kaum Melayu menjadi mundur dan tidak berupaya bersaing dengan kaum lain.

* Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mengaitkan orang Melayu golongan pendatang.

Beliau mendakwa penduduk asal di Tanah Melayu penganut agama Hindu dengan buktinya terdapat di kawasan sejarah Lembah Bujang, di Kedah.

* Beberapa pihak mahu buku teks sejarah diubah dengan memasukkan gerakan puak komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Ini berikutan gesaan dari sebuah forum agar kerajaan baru mengambil kira peranan puak berhaluan kiri ke arah mencapai kemerdekaan dari penjajah asing.

* Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan TamilEelam (LTTE).

Sebahagian dari apa yang sedang berlaku di dalam negara merupakan proses lanjutan pergerakaan reformasi yang dimulakan oleh ketua umum PKR Anwar Ibrahim kira-kira 20 tahun lalu.

Sebahagian pula bermirip kepada perlaksanaan ideologi sosialis Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP, parti serpihan PAP bermajoriti bukan Islam yang berpengkalan di Singapura.

Kecuali Dr Mahathir, sebagai mantan perdana menteri keempat dan tokoh dunia yang disegani, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin beliau dan Parti Amanah Negara (PAN) pimpinan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, tidak berpengaruh  di dalam blok Harapan.

 

  • SHAH ADYLL DADAMEAH
  • Penulis adalah bekas Wartawan terkenal  Akhbar THE STAR

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.