LARANGAN PANTUN: : HARAP TARIK BALIK – PERSATUAN LINGUISTIK

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) meminta Menteri Pertahanan supaya mengarah larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara Majlis Rasmi Ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditarik balik.

Timbalan Presidennya, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata pimpinan ATM sepatutnya menyedari pantun antara warisan budaya Melayu tertua yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

“Pelbagai mesej dapat disampaikan melalui pantun termasuk semangat juang yang tinggi, mempertahankan negara dan menyuntik keberanian.

“Tiada negara lain di dunia yang mewarisi puisi pantun yang tinggi nilai estetika kecuali negara ini,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Kamal Shukri berkata, sememangnya tentera Amerika Syarikat (AS) atau Britain tidak menyelitkan pantun dalam majlisnya kerana kedua-dua negara itu tiada pantun dalam warisan budayanya.

“Banyak lagi yang perlu dibuat oleh pimpinan tentera untuk memperkukuh pertahanan negara berbanding usaha membuang pantun dalam majlisnya.

“Di samping kegagahan pasukan tentera, mereka juga perlu suntikan jati diri sebagai tentera Malaysia, bukan tentera AS atau Britain walaupun mungkin turut menjalani latihan di sana bagi mendalami ilmu ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata, pantun mempunyai pelbagai jenis yang pastinya bukan pantun romantis atau berbentuk mendayu-dayu yang akan dibaca oleh juruacara yang bijak memilih bersesuaian dengan majlis.

“Tidak mungkin pantun ‘kisah peperangan’ dibaca dalam majlis makan malam atau pantun mendayu dibaca dalam majlis tamat latihan tentera,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.