PENUNTUT UMS PARAH JATUH BANGUNAN

 

Seorang penuntut wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu terselamat selepas terjatuh di atas bumbung di tingkat tujuh dari koridor tingkat 10 bangunan kolej kediaman wanita universiti berkenaan, di sini, pagi Selasa.

Mangsa, Lee Miao Lynn, 21, dipercayai patah kedua-dua kakinya dan kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKK), Likas.

Mangsa adalah penuntut tahun tiga program Sarjana Muda Doktor Perubatan di universiti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata hasil siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa ditemani rakannya menuju ke koridor di tingkat 10 untuk mengambil tuala yang tersidai di koridor lif.

“Menurut rakan mangsa, pada masa itu mangsa dikatakan cuba untuk memanjat koridor bagi mengambil tualanya yang berada sedikit ke bawah kerana terjatuh dipercayai ditiup angin.

“Ketika mangsa sedang cuba memanjat, tiba-tiba dia terjatuh dari koridor di tingkat 10 dan terbaring di bumbung bangunan kolej di tingkat tujuh.

“Rakan mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan mangsa dikatakan sedar dan tangannya melambai meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi.

Habibi berkata, beberapa minit kemudian pihak ambulans tiba dan memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke HWKK, Likas.

“Hasil soal siasat, mangsa mengatakan tangannya tergelincir ketika mengambil tuala sebelum terjatuh.

“Pemeriksaan awal mendapati pegawai perubatan mengatakan mangsa disyaki patah kaki kiri dan kanan. Kecederaan lain belum diketahui dan rawatan masih berjalan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.