EDAR BIBLE: DALAM SIASATAN POLIS

 

Siasatan polis sedang dijalankan mengenai kegiatan mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata selain pihak polis, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAINPP) dan Jabatan Pendidikan Negeri turut memainkan peranan dalam siasatan tersebut.

“Dalam hal ini, pihak kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasatnya,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zakiyudin menekankan bahawa Islam merupakan agama rasmi negeri dengan julukan Pulau Mutiara itu seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan negeri.

“Sebarang usaha untuk menimbulkan kekacauan dan suasana tidak tenteram dalam masyarakat berbilang kaum dan agama adalah tidak wajar dan tidak boleh ditolak ansur,” tegas beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengesahkan wujud kegiatan pengedaran kitab Bible di sekolah seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Walaubagaimanapun beliau menegaskan pihak gereja dan komuniti Kristian setempat tidak terlibat langsung dalam insiden tersebut dan dipercayai dibuat oleh wakil NGO.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.