ISU KETUA MENTERI SABAH BELUM SELESAI – MUSA

 

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyifatkan isu ‘ketua menteri’ di negeri itu belum selesai kerana beliau akan mengemukakan rayuan bagi mencabar keputusan mahkamah.

Beliau berkata, rayuan itu dibuat bukan kerana kepentingan beliau, namun lebih kepada mencari tafsiran sebenar terhadap Perlembagaan Negeri.

“Ini soal yang sangat penting iaitu mengenai keluhuran dan tafsiran yang sebenar terhadap Perlembagaan Negeri serta kuasa TYT untuk melantik dan memecat KM.

“Saya berpendapat bahawa isu ini belum selesai sepenuhnya pada hari ini.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Musa dalam kenyataan tersebut turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangan beliau selama ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mahkamah, keluarga, pasukan peguam dan semua penyokong setia yang sentiasa menjunjung dan menghormati Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman difailkan Musa.

Keputusan itu menyaksikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Hakim Datuk Yew Jin Kie membuat keputusan demikian dan menetapkan kos mahkamah sebanyak RM30,000 yang perlu ditanggung pihak plantif.

Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.