REKRUT AHLI PAS KPI PAN – MAHFUZ

 

Antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh disandarkan kepada Parti Amanah Negara (PAN) ialah merekrut seramai boleh anggota PAS untuk menyertai parti itu.

Naib Presiden PAN, Datuk Mahfuz Omar, berkata biarpun pemimpin dan anggota parti sudah meninggalkan PAS mereka tidak wajar sama sekali mengabaikan rakan lama yang masih berada dalam pertubuhan berkenaan.

“Kejayaan PAN perlu dilihat bukan sahaja berdasarkan penambahan ahli baru daripada golongan muda, sebaliknya jumlah anggota PAS yang ditarik menyertai PAN.

“Ini antara KPI PAN iaitu berapa ramai dapat tarik ahli dari PAS,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian, pada Rabu.

Mahfuz yang juga timbalan menteri sumber manusia berkata tidak semua anggota PAS dapat menerima dasar baru parti itu yang kini mesra dengan UMNO selepas mereka bermusuh sekian lama.

“Sebahagian besar anggota Pas berusian 50 tahun ke atas tidak boleh menerima pendekatan kerjasama dengan UMNO, segelintir mereka berani isytihar diri menyokong PAN secara terbuka, manakala selebihnya menyatakan sokongan secara senyap.

“Mereka ini ahli ‘otai’, berjuang habis-habisan untuk PAS sejak muda, mereka tak akan terima UMNO dengan mudah kerana parti itu terpalit dengan kleptokrasi.

“Mungkin mereka bimbang dipulaukan jika menolak, jadi kita harus bijak gunakan kaedah sesuai ajak mereka sertai PAN,” katanya.

Menurut Mahfuz lagi, dalam konteks Malaysia baru yang bersifat lebih terbuka, rakyat memahami apa perkembangan politik bukan lagi secara membuta tuli.

Justeru katanya ada ruang untuk PAN menarik anggota PAS menyertai parti dan meyakinkan mereka supaya mengisi borang keahlian.

Jika mereka enggan aktif bersama parti buat masa ini, kata anggota parlimen Pokok Sena itu lagi, ia bukan masalah besar buat PAN.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.