RM50 JUTA UNTUK SEKOLAH TAHFIZ TAK CUKUP – MOHD AMAR

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan peruntukan RM50 juta diumumkan kerajaan pusat kepada sekolah tahfiz di seluruh negara menerusi Belanjawan 2019 tidak memadai.

Menurut beliau, walaupun angka berkenaan dilihat agak besar, hakikatnya ia tetap kecil kerana sekolah tahfiz dan sekolah agama di negara ini terlalu banyak.

“Memang jumlah RM50 juta kita lihat besar, tapi sekolah tahfiz dan agama banyak, jadi setiap sekolah hanya dapat dalam jumlah yang sedikit,” kata beliau.

Sepatutnya kata Mohd Amar kerajaan pusat tidak boleh menyediakan peruntukan dalam jumlah yang sama kepada sekolah agama dan tahfiz, serta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) serta sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Darulnaim di Kota Bharu, pada Rabu.

Pada 2 November lalu Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat dengan memperuntukan RM652 juta untuk keperluan sekolah-sekolah pelbagai aliran di negara ini.

Jumlah peruntukan untuk sektor yang sama pada Belanjawan 2018 ialah RM615 juta.

Peruntukan kali ini melibatkan sekolah kebangsaan sebanyak RM250 juta, dan masing-masing RM50 juta untuk SJKC, SJKT sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah tahfiz berdaftar.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.