DISKRIMINASI PUNCA PENGANGGURAN BUMIPUTRA, INDIA TINGGI

 

Kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan Bumiputra dan kaum India bukan disebabkan tiada kemahiran tetapi kerana masalah diskriminasi, ujar Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil.

Isham berkata beliau menyangkal laporan Economic Outlook 2019 oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini yang mendakwa wujud jurang kemahiran antara antara graduan pencari kerja dan majikan di pasaran kerja.

“Dalam satu kajian empirikal yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik di satu universiti terkemuka tempatan pada beberapa tahun lalu, hanya 4.2% daripada graduan pemohon kerja berbangsa Melayu dipanggil untuk temuduga berbanding 22.1% daripada graduan pemohon kerja yang berbangsa Cina, walaupun kedua-dua kumpulan pemohon mempunyai kelulusan, kelayakan dan spesifikasi kerja yang sama dan mengikut kehendak majikan.

“Ini menunjukkan bahawa graduan lepasan-lepasan universiti berbangsa Melayu mendapat hanya 1 per 5 peluang untuk dipanggil menghadiri temuduga di pasaran kerja berbanding kaum Cina,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Isham berkata masalah diskriminasi tersebut memberi kesukaran kepada graduan bumiputra untuk menembusi pasaran pekerjaan terutamanya sektor swasta.

“Ini menyempitkan lagi peluang graduan lepasan universiti berbangsa Melayu untuk mendapat kerja di pasaran terutamanya di sektor swasta di mana 90% daripada jumlah pekerjaan adalah di sektor ini,” katanya.

Laporan Economic Outlook 2019 oleh Kementerian Kewangan menyatakan kadar pengangguran di kalangan graduan Melayu adalah tinggi di paras 4.6 peratus manakala graduan bangsa India ialah 5.5 peratus berbanding graduan berbangsa Cina di paras 2.9 peratus.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.