HENTI SALAHKAN BN – DAIM

 

Barangkali menyedari rakyat sudah muak dengan taktik menyalahkan kerajaan terdahulu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin meningatkan Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti menyalahkan pentadbiran BN.

Sebaliknya kata Daim, PH perlu memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Jelas Daim, apa yang berlaku pada masa lalu adalah sejarah dan pentadbiran baharu perlu berhenti menyalahkan kerajaan sebelum ini yang memerintah selama 61 tahun.

“Enam bulan sudah cukup. Kini, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada menunaikan janji. Rakyat tahu apa yang berlaku dan itulah sebabnya mereka mengundi untuk menyingkirkan kerajaan terdahulu. Oleh itu, adalah penting bagi mereka untuk tidak mengulangi kepimpinan (kesilapan) yang sama,” katanya kepada pemberita di Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2018 di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Daim berkata, kerajaan harus berusaha untuk memulihkan keyakinan di kalangan pelabur untuk menarik mereka kembali ke negara ini.

“Dalam tempoh enam bulan yang lalu, kerajaan telah jelaskan apa yang perlu dilakukan dan telah mengambil pelbagai langkah kecil dan besar, bagaimanapun destinasi kita masih jauh,” katanya.

Daim menggesa rakyat Malaysia memberi sedikit masa kepada kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinetnya, yang bekerja keras untuk mereformasi ekonomi, yang merupakan perkara paling penting untuk dilakukan sekarang.

“Orang ramai tidak sabar, mereka mengundi untuk perubahan dan mahu melihat keputusan dengan segera. Janji telah dibuat tetapi apabila kerajaan mengambil alih, tiba-tiba mendapati bahawa perbendaharaan itu kosong.

“Bagaimana mereka akan memenuhi janji-janji itu? Jadi ia akan mengambil masa,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.