JANGAN SAMAKAN SAYA DENGAN TOK PA – RAFIDAH

 

Tan Sri Rafidah Aziz berang apabila namanya diletak setara dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas menyatakan hasrat untuk menyertai PPBM.

Bekas Ketua Wanita UMNO itu berkata, beliau tidak sama seperti Ahli Parlimen Jeli itu yang menyertai PPBM pada 26 Oktober lalu.

“Jangan letakkan saya dalam satu kumpulan yang sama dengan Tok Pa (Mustapa).

“Saya Rafidah Aziz. Saya putuskan apa saya nak buat. Saya tak ikut orang.

“Saya tak kisah apa mereka nak buat, nak lompat katak atau apa saja. Saya bukan nak sertai BERSATU kerana ada orang bodoh nak sertainya,” katanya dalam nada tegas.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Simposium Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah Malaysia (MAICSA) di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Rafidah hari ini menyuarakan hasratnya untuk menyertai PPBM yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk rekod Rafidah digugurkan keahlian UMNO bersama dua bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim pada 5 Mei lalu, kerana menyokong PH serta menghentam parti itu.

Ditanya sama ada ditawarkan jawatan dalam PPBM, Rafidah berkata, beliau membantu Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana merasakan perlunya perubahan kerajaan, bukan untuk jawatan.

“Perdana Menteri kenal saya. Jika beliau pancing saya dengan apa saja, saya akan berundur. Jangan cuba rasuah saya dengan apa-apa pun.

“Memancing dengan jawatan itu rasuah dan berkait dengan kronisme. Tidak mungkin sama sekali.

“Saya sudah 75 tahun. Saya dah bersara. Cukup cukuplah,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.