NAJIB BAGI KETERANGAN EMPAT JAM

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan selama empat jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dipercayai berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen menerima rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek.

Najib dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 1.50 tengah hari dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana selain diiringi dua buah kenderaan lain.

Terdahulu, beliau tiba di bangunan SPRM kira-kira jam 9.40 pagi selepas menemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi bagi mendengar prosiding sebutan kes.

Media sebelum ini difahamkan, Najib dipanggil bagi membantu siasatan beberapa kes termasuk membabitkan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Sumber berkata, Najib dipanggil memberi keterangan berkaitan kes solar dan bukannya berkait kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, Najib menerusi laman akaun Twitter kira-kira jam 2.05 petang tadi menafikan beliau hadir bagi memberi keterangan kes solar sebaliknya hanya dipanggil membantu siasatan.

Namun, tidak dinyatakan pula beliau dipanggil untuk membantu kes apa.

“Hari ini saya dipanggil SPRM bagi membantu siasatan tetapi bukan berkaitan kes solar,” kata Najib menerusi laman Twitternya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan Najib dikehendaki hadir ke SPRM untuk dirakam keterangan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.