NAJIB RISAU KERAJAAN TAK MAMPU BAYAR HUTANG

 

Datuk Seri Najib Razak menyatakan kebimbangannya terhadap kedudukan rizab antarabangsa negara.

Bekas perdana menteri itu berkata, kedudukan itu seperti yang diumumkan Bank Negara menunjukkan kerajaan tidak mampu untuk membayar hutang jangka pendek.

Bank Negara hari ini berkata rizab antarabangsanya jatuh kepada AS$101.7 bilion, memadai untuk membiayai tujuh setengah bulan import tertangguh dan 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek.

“Kebimbangan saya ialah angka 0.9 kali hutang asing jangka pendek ini. Kadar kurang daripada 1.0 bermakna rizab kita tak cukup untuk bayar semua hutang asing jangka pendek bila (ia) dituntut dan merupakan satu risiko baru untuk negara.

“Maksudnya kita hutang orang asing AS$100 tetapi hanya ada mata wang asing berjumlah AS$90 untuk membayarnya,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.

Hutang jangka pendek adalah yang perlu dibayar dalam masa setahun. Bagaimanapun tidak jelas berapa jumlah hutang itu yang perlu dibayar dala jangka waktu terdekat ini.

Beliau menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar memberi perhatian kepada perkara itu.

Katanya lagi, beliau tidak pernah melihat angka itu di bawah paras 1.0 sebelum PRU ke-14.

Najib juga membangkitkan rizab antarabangsa yang berkurang sebanyak AS$8.3 bilion sejak pertengahan April lalu.

Ketika pentadbirannya, paras terendah rizab antarabangsa dalam masa enam tahun adalah pada Ogos 2015, iaitu pada AS$94.5 bilion.

Tetapi ketika itu kadar rizab hutang jangka pendek kekal di atas 1.0 Ia menurun kepada 0.9 pada akhir Ogos lalu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.