NELAYAN PALESTIN MAUT DITEMBAK TENTERA LAUT MESIR

 

Seorang nelayan Palestin maut ditembak pasukan tentera laut Mesir semalam, kata Kementerian Dalam Negeri Gaza namun dinafikan sumber ketenteraan negara terbabit.

Pasukan tentera laut Mesir sebelum ini pernah melepaskan tembakan ke arah nelayan Gaza yang didakwa menceroboh perairan negara mereka tetapi tiada sebarang maklumat diperoleh setakat ini untuk mengesahkan jika bot mangsa terbabit melakukan kesalahan itu.

Insiden semalam itu berlaku di perairan Palestin pada waktu malam di selatan Rafah, kata kementerian dalam negeri Gaza yang ditadbir penyokong setia Hamas.

“Kapal milik tentera laut Mesir melepaskan tembakan ke arah bot nelayan Palestin berhampiran sempadan laut di bahagian selatan Semenanjung Gaza dan membunuh Mustafa Abu Odah, 30 tahun,” kata kenyataan kementerian.

Di Kaherah, sumber tentera Mesir menafikan laporan terbabit tanpa membuat sebarang ulasan lanjut.

Israel meneruskan sekatan tentera laut di Semenanjung Gaza dan meletakkan had untuk menangkap ikan yang sehingga kini menjangkau jarak 9 batu nautika.

Mesir selama ini cuba mewujudkan gencatan senjata jangka panjang antara Hamas di Gaza dan Israel serta cuba meredakan tunjuk perasaan di sempadan Gaza – Israel yang sehingga kini sudah meragut nyawa 200 penduduk Palestin.

Dalam tunjuk perasaan di pagar sempadan Julai lalu, seorang tentera Israel maut ditembak penembak tepat Palestin. – Reuters

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.