PEGUAM BELA ROSMAH MOHON MASA

 

Pihak pendakwaan sudah menyerahkan kepada pembelaan, dokumen setebal 600 muka surat bagi perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, pihak pendakwaan sudah menyerahkan 99.9 peratus dokumen terbabit kepada peguam bela mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

“Dokumen yang diberikan ini adalah bagi membuktikan kes kami terhadap tertuduh. Arahan yang diterima adalah untuk meneruskan kes ini secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Rosmah, Datuk K Kumaraendran, berkata pihaknya sudah menerima 600 muka surat dokumen, bagaimanapun pendakwaan belum menyerahkan satu lagi dokumen iaitu penyata bank.

Kumaraendran berkata, dokumen berkenaan diterima pada 30 Oktober lalu dan belum berpeluang menelitinya.

Sehubungan itu, peguam itu memohon masa selama sebulan untuk sebutan semula kes terbabit.

Katanya, pihaknya juga akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.

Sementara itu, Sri Ram tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan pihak pembelaan.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan pada 6 Disember ini sebagai sebutan semula dan mengarahkan peguam bela memfailkan permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi sebelum tarikh itu.

Sementara itu, seorang lagi peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent, berkata pihaknya menjangkakan bahawa perbicaraan kes itu bermula tahun hadapan.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 

Wartawan Watan-Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.