PEGUAM LAPOR SPRM DAKWA KOR MING RASUAH

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming selepas mendapat laporan wujud jenayah rasuah membabitkan beliau dan tokoh perniagaan, Koon Yew Yin.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang tampil membuat laporan tersebut berkata maklumat mengenai wujud jenayah rasuah itu berdasarkan artikel bertarikh 2 November di blog milik Yew Yin sendiri dengan tajuk ‘Perak Sultan has no rights to stop my appointment as economic adviser’ (Sultan Perak tidak berkuasa menghentikan perlantikan saya sebagai penasihat ekonomi).

Menurut beliau, menerusi artikel tersebut, Yew Yin mengaku memberikan derma RM200,000 secara peribadi kepada Kor Ming berikutan Ahli Parlimen Teluk Intan itu tidak boleh menggunakan wang parti DAP secara bebas.

“Dalam artikel yang sama juga, Yew Yin menyatakan beliau memberi tambahan RM100,000 selepas Kor Ming mengetahui tidak terpilih menjadi Menteri Kabinet.

“Pemberian RM300,000 itu sebagai balasan kepada janji Pakatan Harapan Perak untuk melantik tokoh perniagaan itu sebagai penasihat ekonomi sebelum memuat naik artikel berkenaan bagi meluahkan rasa kecewa apabila tidak dilantik ke jawatan itu,” katanya lapor media ketika ditemui di hadapan Ibupejabat SPRM Kuala Lumpur pada Khamis.

Mohd Khairul berkata laporan kepada SPRM itu dibuat berikutan artikel berkenaan yang telah dipadam sendiri oleh Yew Yin dengan jelas membuktikan beliau memberikan rasuah kepada Kor Ming.

“Dua artikel berkenaan sempat saya tangkap layar (screen shot) sebelum ia dipadamkan dan boleh digunakan SPRM untuk siasatan rasuah,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.