PENINGKATAN MENDADAK AHLI PKR JULAU SAH

 

Keanggotaan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Julau, Sarawak yang menjadi kontorversi ekoran peningkatan mendadak daripada 603 kepada 13,000 orang adalah sah kerana tidak melanggar sebarang proses permohonan parti.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menjelaskan permohonan keahlian baharu cabang itu diterima PKR pada 12 Jun lalu dan telah disahkan oleh Biro Politik PKR.

“Biro Politik KEADILAN dimaklumkan bahawa jumlah besar permohonan keanggotaan baharu bagi Cabang Julau telah diterima ibu pejabat KEADILAN pada 12 Jun 2018.

“Selepas 26 Jun, senarai akhir permohonan keanggotaan baharu telah diluluskan dalam satu mesyuarat khas MPP. Senarai tersebut kemudiannya diserah kepada setiap Cabang untuk semakan dan bantahan, yang tamat pada 17 Julai 2018 dan sehingga tarikh tersebut, ibu pejabat KEADILAN tidak menerima sebarang bantahan dari mana-mana pihak terhadap permohonan keanggotaan baharu di Cabang Julau.

“Oleh itu, berdasarkan fakta-fakta ini, dan memandangkan tiada pelanggaran proses dalam kes ini, Biro Politik KEADILAN dimaklumkan bahawa permohonan keanggotaan baharu di Cabang Julau adalah sah,” ujar beliau melalui kenyataan pada Khamis.

Peningkatan ketara jumlah keanggotaan Cabang Julau mendapat perhatian sehingga laporan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) dibuat dan mesyuarat diadakan bagi menyelesaikan kemelut terbabit.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga ahli Parlimen PKR Lembah Pantai berkata dalam mesyuarat tersebut, Biro Politik PKR turut mengarahkan Lembaga Disiplin parti bagi menyiasat semua insiden dan gangguan sepanjang proses pemilihan berlangsung.

“Mereka yang didapati terlibat dalam sebarang aktiviti atau tindakan yang melanggar disiplin parti akan dikenakan tindakan tegas.

Pada masa yang sama, semua anggota yang telah dipecat atau digantung keanggotaan sebelum ini adalah ditegah sekeras-kerasnya dari terlibat dalam proses pemilihan parti termasuk berkempen untuk mana-mana pihak,” tegas beliau.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.