PETROL: KERAJAAN MASIH KAJI KAEDAH AGIHAN – SAIFUDDIN

 

Kerajaan masih mengkaji kaedah terbaik berhubung pemberian subsidi petrol secara bersasar yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan masih ada dua atau tiga bulan untuk berbincang dengan semua pihak berkaitan berhubung perkara itu.

“Saya telah berjumpa dengan wakil syarikat dan pengusaha stesen minyak bagi membincangkan perkara ini.

“Saya juga akan jumpa dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Apa yang penting ialah semua pihak, terutamanya pengusaha stesen minyak memahami proses pemberian subsidi petrol,” katanya dalam sidang media selepas selesai melakukan lawatan kerja di dua buah kilang di Shah Alam pada Rabu.

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan berharap pemberian subsidi petrol kepada golongan yang sepatutnya itu dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Apabila kita jumpa sistem terbaik yang boleh kita pakai, kita akan kembangkan lagi penggunaan sistem ini kepada barang lain yang termasuk dalam kategori subsidi,” katanya.

Belanjawan 2019 mengumumkan pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1500 cc ke bawah dan motosikal 125 cc ke bawah bakal menikmati subsidi petrol Ron95 sebanyak 30 sen seliter, bermula suku kedua tahun depan.

Begitupun, menurut Guan Eng, subsidi itu terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dan 45 liter untuk motosikal.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.