SKIM FUND MY HOME: NAJIB SINDIR GUAN ENG

 

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung skim FundMyHome yang dilihat lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat.

Najib dalam tulisannya di laman sosial Facebook rasmi berkata Guan Eng perlu dipuji atas promosi skim tersebut yang dianggap sebagai ‘hebat’.

“Saya baca tajuk berita ini, saya ikhlas nak beri beliau tepukan, memang hebatlah cara promosi bayar 20 peratus, tinggal percuma lima tahun.

“Saya ulang soalan utama saya. Sebenarnya skim ini nak membantu siapa? Rakyat atau pemaju? Soal Najib dalam Facebook beliau pada Khamis.

Najib berkata wujud perjanjian tidak adil yang boleh mendatangkan kerugian kepada pembeli rumah dengan skim tersebut pada masa hadapan.

“Mengikut laporan, ‘deposit’ 20 peratus yang dibayar saudara-saudari akan diletakkan dalam satu akaun amanah dan akan diguna untuk bayar sebagai pulangan pelaburan lima peratus setiap tahun kepada peminjam dana atau institusi kewangan selama lima tahun.

“Jika nilai rumah meningkat dalam masa lima tahun ini maka peningkatannya dikongsi dengan peminjam dana namun jika nilau rumah menurun dalam masa lima tahun itu ia akan ditanggung oleh pembeli rumah (maknanya saudara-saudarilah).

“Selepas lima tahun pembeli boleh memutuskan untuk menjual rumah tersebut dengan keuntungan dikongsi dengan peminjam dana 80 peratus tadi. Namun jika tidak ingin dijual, saudara-saudari boleh membeli rumah tersebut sepenuhnya mengikut nilai pasaran pada ketika itu.

“Sebenarnya skim ini nak membantu siapa? Rakyat atau pemaju? Saya rasa Menteri Kewangan perlu tanya diri,” ujar beliau.

Mengulas lanjut ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan tentang peminjam dana yang masih berkongsi keuntungan dengan pembeli rumah jika pembeli mahu menjual rumah tersebut selepas lima tahun.

“Sedangkan sepanjang lima tahun tersebut, pelabur atau peminjam dana telah menerima pulangan pelaburan lima peratus setiap tahun selama lima tahun daripada deposit 20 peratus yang dibayar oleh pembeli,” jelas beliau lagi.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata apa yang lebih merugikan ialah selepas lima tahun, pembeli rumah daripada skim tersebut masih perlu membuat pinjaman perumahan di bank

“Dan pada harga pasaran pada ketika itu, jika pada masa itu pembeli rumah masih tidak mampu memiliki rumah dan membuat bayaran ansuran setiap bulan apa akan terjadi pada mereka? Dihalau keluar dari rumah?,” soal beliau.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.